SEKURANG-kurangnya 22 orang terbunuh selepas kereta api ekspres tergelincir sebelum terbalik di laluan pesisir pantai yang popular kepada pelancong di Taiwan pada Ahad, dalam nahas kereta api terburuk sejak lebih 20 tahun di negara itu.
Pentadbiran kereta api Taiwan mengesahkan 22 orang terbunuh dan 171 orang lagi cedera, 10 daripadanya parah, dalam nahas yang berlaku di timur laut Yilan.
Pihak berkuasa bagaimanapun masih belum mengesahkan sekiranya terdapat mangsa yang terperangkap dalam kereta api terbabit. Wartawan AFP di lokasi melaporkan banyak mayat dikeluarkan dari gerabak di tempat kejadian.
Gambar yang dirakam menunjukkan gerabak kereta api Puyuma Express itu tergelincir dan melintang di tengah landasan.
Kesemua lapan gerabak berkenaan tergelincir dan lima daripadanya terbalik berhampiran stesen Xinma, menurut pentabiran kereta api.
“Terdapat empat gerabak terbalik 90 darjah dan mereka yang mengalami kecederaan teruk adalah dari gerabak terbabit,” kata ketua Pentadbiran Kereta Api Taiwan Jason Lu.
“Punca sebenar kemalangan berkenaan masih dalam siasatan,” tambahnya.
Seorang saksi, Chang Yi-long, 62, berkata beliau terdengar bunyi dentuman kuat ketika bekerja di tapak pembinaan berhampiran.
Ketika tiba di lokasi, beliau melihat penduduk tempatan sedang membantu mengeluarkan mangsa daripada gerabak. – AFP, 21 Oktober, 2018
Komen