Tindakan AS tarik diri perjanjian nuklear satu "langkah bahaya", kata Rusia 


Timbalan menteri luar Rusia Sergei Ryabkov menafikan dakwaan Presiden AS Donald Trump berhubung perjanjian nuklear.– Gambar EPA, 21 Oktober, 2018

MENARIK diri daripada perjajian nuklear dari era Perang Dingin dengan Rusia sebagaimana yang diumumkan oleh Presiden Amerika Syarikat Dinald Trump adalah satu langkah bahaya, kata timbalan menteri luar Rusia pada Ahad.

“Ini akan menjadi langkah yang bahaya, saya pasti, ia tidak akan difahami oleh masyarakat antarabangsa tetapi akan mencetuskan kutukan yang serius,” kata timbalan menteri luar Sergei Ryabkov kepada agensi berita TASS.

Perjanjian itu merupakan “signifikan kepada keselamatan antarabangsa dan keselamatan senjata nuklear, untuk mengekalkan kestabilan strategik,” tegasnya.

Rusia menyelar apa yang disifatkan sebagai cubaan AS untuk mendapatkan konsesi “menerusi cara memeras ugut”, tambahnya.

Sekiranya AS secara berterusan bertindak “melulu dan sewenangnya” dan berundur secara unilateral daripada perjanjian antarabangsa “kami tiada pilihan untuk mengambil langkah tindak balas termasuk melibatkan teknologi tentera,” kata Ryabkov kepada agensi berita RIA Novosti.

“Tetapi kita tidak mahu sampai ke peringkat ini,” tambahnya. 

Pada Sabtu, Trump mengumumkan rancangan AS untuk berundur daripada Perjanjian Angkatan Nuklear Antara Pertengahan yang dikenali sebagai INF, ditandatangani pada 1987 oleh Presiden AS ketika itu Ronald Reagan.

“Kita yang mahu kekal dalam perjanjian dan kami menghormati perjanjian, tetapi malangnya Rusia tidak menghormati perjanjian, jadi kita akan batalkan perjanjian dan akan menarik diri,” kata Trump.

Namun Ryabkov pada Ahad menafikan tuduhan Trump, dan kembali menuduh Washington.

“Kami bukan sahaja tidak melanggar perjanjian, tetapi kami memantaunya dengan ketat,” katanya. – AFP, 21 Oktober, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen