MAHKAMAH Peru akan membuat keputusan hari ini sama ada membenarkan permohonan pendakwa untuk meletakkan pemimpin pembangkang Keiko Fujimori di bawah tahanan pencegahan selama 36 bulan, di mana ia akan menghancurkan harapannya untuk pemilihan presiden pada 2021.
Pendakwa raya anti rasuah Jose Domingo Perez memohon mahkamah menahan Fujimori dan 11 yang lain bagi tempoh panjang ketika pasukannya menyiasat siapa menerima wang jutaan dolar dalam rasuah kempen daripada syarikat pembinaan gergasi Brazil, Odebrecht.
Peguamnya, Giuliana Loza menyifatkan permohonan pendakwa sebagai mengarut.
Hakim Richard Concepcion Carhuancho berkata mahkamah akan mendengar kes itu esok pagi.
Beliau hakim yang sama awal bulan ini membenarkan permohonan Lopez untuk menahan Fujimori dalam tahanan pencegahan selama 10 hari.
Perlembagaan Peru membenarkan suspek ditahan tanpa bicara sehingga 36 bulan di kes yang rumit seperti siasatan Odebrecht yang membabitkan menjejaki jutaan dolar bayaran tidak sah. Ia juga bagi memastikan suspek tidak boleh campur tangan dengan bukti atau saksi dalam siasatan yang masih berjalan.
Fujimori, 43, anak perempuan kepada bekas presiden Alberto Fujimori terbabit dalam siasatan itu menafikan semua salah laku itu. – AFP, 21 Oktober, 2018.
Komen