Siasatan kementerian berasingan daripada SPRM, kata Khalid


Christopher Rabin

Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad berkata aspek seperti pengubahan wang haram dan rasuah berada dalam bidang kuasa Suruhan Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), bukan kementerian beliau. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 21 Oktober, 2018.

SIASATAN yang dijalankan Kementerian Wilayah Persekutuan terhadap skandal penjualan tanah DBKL terbatas kepada aspek komersil transaksi, kata Menterinya, Khalid Abdul Samad.

Khalid berkata aspek seperti pengubahan wang haram dan rasuah berada dalam bidang kuasa Suruhan Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), bukan kementerian.

“Kita tak boleh siasat untuk lihat jika pegawai ditawarkan duit, kita hanya dapat pastikan pembayaran yang dibuat mengikut nilai pasaran tanah,” katanya di Kuala Lumpur hari ini.

Khalid mengulas desakan Center to Combat Corruption and Cronyism (C4) yang mahu beliau menjelaskan di Parlimen bagaimana penjualan tanah yang didakwa berlaku dan langkah-langkah pencegahan yang akan diambil.

Kata Khalid, C4 mesti faham bahawa siasatan SPRM adalah berasingan dari siasatan yang dijalankan oleh kementeriannya.

“Dari aspek pengubahan wang haram dan rasuah, siasatan dijalankan oleh SPRM, jadi C4 kena minta laporan dari SPRM.

“Sementara itu, kementerian hanya akan jalankan siasatan bagi memastikan DBKL menjual tanah dengan harga yang berpatutan,” jelasnya.

Kementerian katanya boleh meminta semakan semula ke atas harga yang akan dibayar semula melalui projek tanggungjawab sosial korporat jika harganya didapati jauh berbeza daripada harga pasaran.

“Di masa depan, kementerian akan mengamalkan tender terbuka dan tiada lagi rundingan langsung seperti yang pernah diamalkan kerajaan terdahulu,” kata Khalid.

Ahli Parlimen Shah Alam itu juga mendedahkan SPRM berkata siasatan yang dijalankan oleh kementeriannya tidak akan menjejaskan siasatan mereka.

“Kita dibenarkan untuk meneruskan urus niaga jika kita simpulkan yang jualan itu boleh diteruskan,” katanya. – 21 Oktober, 2018.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen