SERAMAI 55 orang terbunuh minggu ini dalam pertembungan antara masyarakat belia Kristian dan Muslim di utara Nigeria susulan pertelingkahan di sebuah pasar, kata Presiden Muhammadu Buhari semalam.
Sumber berkata pergaduhan tercetus antara belia Muslim Hausa dan Kristian Adara di pasar di bandar Kasuwan Magani susulan perbalahan di kalangan peniaga menggunakan basikal.
Dua dikatakan terbunuh dalam kekecohan di pasar itu pada Khamis. Keganasan itu kemudian dihentikan oleh polis tetapi belia Adara kemudian menyerang penduduk Hausa dan membakar rumah, kata sumber.
“Kebanyakan pembunuhan berlaku dalam serangan kedua yang mengejutkan masyarkat Hausa,” kata penduduk Kasuwar Magani, Muhammadu Bala yang turut kehilangan rumahnya.
Dalam satu kenyataan, Buhari mengutuk keganasan di Kasuwan Magani di Kaduna yang mengorbankan 55 nyawa.
Presiden turut meluahkan rasa bimbang bahawa rakyat Nigeria terlalu kerap mengambil jalan keganasan jika berlaku salah faham yang sepatutnya boleh diselesaikan secara damai.
Ketua polis Kaduna Ahmad Abdur-Rahman pada Jumaat berkata seramai 22 orang ditahan berhubung kejadian itu.
Kerajaan negeri juga mengenakan perintah berkurung di Kasuwan Magani pada Jumaat.
Krisis hampir sama turut berlaku pada Februari menyebabkan sekurang-kurangnya 10 terbunuh dan ratusan lagi kehilangan rumah dan kedai akibat dibakar. – AFP, 21 Oktober, 2018.
Komen