SEORANG anggota bomba sukarela ditahan kerana mencetuskan kebakaran di utara Itali yang dilanda kemarau menyebabkan kebakaran sukar dikawal.
Jabatan bomba Itali bertungkus lumus memadamkan kebakaran di seluruh negara itu, di mana keadaan cuaca panas menjadikan kawasan padang dan hutan yang kering sangat mudah terbakar.
Tipuan angin memburukkan lagi keadaan sehingga sembilan wilayah di negara itu meminta bantuan pesawat pemadam kebakaran.
Presiden wilayah Calabria, Mario Oliverio turut meminta kerajaan menghantar pasukan tentera bagi membantu anggota bomba yang keletihan serta pasukan sukarelawan pertahanan awam bagi menghalang kebakaran daripada merebak ke kawasan perkampungan.
Di Lombardy, seorang lelaki berusia 28 tahun dirakam mencetuskan kebakaran dengan membakar tong sampah sebelum kembali ke balai bomba dan membunyikan loceng kecemasan sebelum memadamkan kebakaran itu bersama rakan sekerjanya.
Polis berkata, lelaki terbabit sudah mencetuskan tujuh kebakaran sejak 2014.
Pada Isnin 15 anggota bomba ditahan di Sicily selepas disyaki memulakan kebakaran untuk mendapatkan bayaran bonus.
“Kita tidak boleh kaitkan konsep meraih pendapatan dan memadam kebakaran dalam keadaan krisis ekonomi seperti sekarang,” kata Setiausaha Agung Kesatuan Bomba Conapo, Antonio Brizzi.
“Pemotongan bermakna kita kekurangan 3,500 anggota bomba yang sangat diperlukan, hingga memaksa penggunaan pasukan sukarelawan untuk memadamkan kebakaran,” katanya dan menambah pengambilan akan datang akan dibuat di bawah kawalan psikologi yang ketat. – AFP, 11 Ogos, 2017
Komen