Rafizi dakwa menang di Melaka, Negeri Sembilan


Nabihah Hamid

Rafizi Ramli mendakwa mendapat 52% di Negeri Sembilan, 55% di Melaka berbanding Azmin Ali 48% (Negeri Sembilan) dan 45% di Melaka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Oktober, 2018.

RAFIZI Ramli mendakwa beliau menang dalam perebutan jawatan timbalan presiden di Melaka dan Negeri Sembilan mengalahkan penyandangnya Mohamed Azmin Ali.

Rafizi menerusi Twitternya mendakwa kiraan undian tidak rasmi menunjukkan beliau mendapat 52% berbanding Azmin yang hanya mendapat 48% undian dari lapan cabang di Negeri Sembilan.

Manakala undian di enam cabang Melaka pula menunjukkan 55% undian diberikan kepada Rafizi dan hanya 45% kepada Azmin.

“Terima kasih sahabat-sahabat PKR N9 & Melaka - keputusan tidak rasmi menunjukkan saya menang di kedua-dua negeri.Masih tunggu keputusan akhir untuk tentu margin sebenar,” kata bekas ahli parlimen Pandan itu. 

Melaka mempunyai 23,466 ahli layak memilih manakala Negeri Sembilan pula memiliki 36,970 pengundi.

Setakat ini tiada keputusan diletakkan di laman rasmi pemilihan PKR 2018.

Difahamkan pihak Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) sedang mengalami masalah teknikal untuk mendapatkan keputusan di beberapa cabang di Melaka dan Negeri Sembilan. 

The Malaysian Insight sedang mendapatkan reaksi JPP untuk mengetahui keputusan sebenar. – 20 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen