Moscow selar AS kerana 'palsukan' pendakwaan pilihan raya


Timbalan Menteri Luar Rusia Sergei Ryabkov dalam satu kenyataan berkata Washington sengaja mewujudkan alasan untuk mengenakan sekatan sekali lagi ke atas Rusia. – Gambar EPA, 20 Oktober, 2018.

MOSCOW pada Sabtu mengutuk Washington yang mendakwa seorang wanita Rusia kerana campur tangan dalam pilihan raya Amerika Syarikat (AS) 2018, berkata tuduhan sengaja diadakan untuk mengenakan sekatan lanjutan terhadap Rusia.

“Washington sengaja mewujudkan alasan untuk mengenakan sekatan sekali lagi ke atas negara kami,” kata Timbalan Menteri Luar Sergei Ryabkov dalam satu kenyataan.

Beliau berkata Washington kini menggunakan alasan sama seperti pada pilihan raya presiden 2016.

Pada 6 November ini, rakyat AS akan mengundi pada pilihan raya pertengahan penggal kongres.

Wanita itu, Yelena Khusyainova, yang dituduh oleh Jabatan Kehakiman AS pada Jumaat, menjadi orang pertama dihadapkan dengan pertuduhan mengganggu pilihan raya.

Ryabkov menuduh “beberapa ahli politik AS” melancarkan “kempen fitnah yang memalukan” untuk kepentingan politik dan pada masa yang sama “memberi tekanan kepada Rusia”. – AFP, 20 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen