Jutawan Tanzania yang diculik kini bebas


Jutawan termuda Afrika, Mohammed Dewji diculik lelaki bersenjata pada 11 Oktober. – Gambar fail EPA, 20 Oktober, 2018.

TAIKUN Tanzania, Mohammed Dewji yang diculik awal bulan ini telah dibebaskan dal selamat pulang ke rumah.

“Syukur kepada Allahkerana saya sudha selamat pulang ke rumah. Saya ucapkan terima kasih kepada rakyat Tanzania dan semua orang di seluruh dunia atas doa mereka,” katanya menerusi mesej di Twitter.

“Saya ucapkan terima kasih kepada pihak berkuasa Tanzania, termasuk pihak polis yang membawa saya pulang.”

Ayahnya, Gullam Dewji mengesahkan pembebasan Mohammed kepada akhbar Mwanachi. Manakala pakcik Mohammed, Azim Dewji berkata penculik melepaskannya pada awal pagi Sabtu di Dar es Salaam.

Keluarganya menawarkan ganjaran setengah juta dolar (435,000 euro) bagi sebarang maklumat.

Pada Jumaat, polis Tanzania berkata mereka mengenal pasti pemandu kereta yang digunakan dalam penculikan.

Jutawan termuda Afrika itu diculik lelaki bersenjata pada 11 Oktober - dikatakan lelaki kulit putih - ketika masuk ke dalam gim di sebuah hotel di Dar es Salaam.

Mohammed, 43, mengetuai Kumpulan MeTL yang beroperasi di sepuluh negara meliputi bidang pertanian, insurans, pengangkutan, logostik dan industri makanan.

Ketua Polis Dar es Salaam, Lazaro Mambosasa memberitahu pemberita penyerang melepaskan tembakan ke udara sebelum menyumbat Mohammed ke dalam kereta.

Jutawan yang dilahirkan di Tanzania dan mendapat pendidikan di Universiti Georgetown, Amerika Syarikat itu juga pernah menjadi ahli Parlimen dari 2005 hingga 2015.

Pada 2013, beliau menjadi rakyat Tanzania pertama muncul di muka depan majalah Forbes dan dinamakan sebagai “Forbes Africa Person of the Year” pada 2015. – AFP, 20 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen