RESTORAN mamak perlu dibenarkan membuka zon merokok di kedai mereka sebaik sahaja larangan haram merokok di semua kedai makan mula dilaksanakan bermula 1 Januari depan, kata persatuan restoran tersebut.
Presiden Pengusaha Muslim Malaysia (Presma) Ayoob Khan Muhamad Yakub berharap kerajaan akan menerima cadangan itu kerana mereka bimbang dasar itu akan menjejaskan perniagaan mereka.
“Kami rasa ia tindakan yang baik (haramkan merokok) tetapi kami harap kerajaan benarkan kami buat zon merokok untuk perokok,” kata Ayoob kepada The Malaysian Insight.
“Kami boleh beri amaran kepada perokok tentang tanda ‘jangan merokok’ sebaik sahaja arahan itu dilaksanakan, tetapi ada batasnya (untuk tindakan kami) kerana mereka pelanggan kami.”
Sementara itu, pelanggan kedai mamak pula berbelah pendapat tentang larangan pengharaman merokok di semua kedai makan termasuklah kedai kopi dan pusat penjaja.
“Kebanyakan (kedai) mamak sudah mewujudkan kawasan merokok dan tidak merokok. Jadi kami betul-betul tak bersetuju dengan pengharaman ini kerana pelanggan akan berkumpul di kawasan yang membenarkan mereka merokok selepas makan,” kata Babhlan Aland.
“Mereka (kerajaan) cuba haramkan merokok dalam kereta, mereka haramkan merokok di pusat henti dan rehat lebuh raya, sekarang mereka mahu haramkan di mamak pula. Di mana kami hendak merokok?” kata pemandu peribadi berusia 37 tahun itu.
Ada juga yang berpandangan pengharaman itu akan memberi kesan kepada kehidupan sosial mereka, kerana kedai mamak sering jadi pilihan untuk bertemu kawan-kawan.
“Saya rasa ia akan beri kesan kepada kedai mamak dan kami pula terpaksa cari tempat lain kerana ramai perokok pergi ke kedai mamak untuk minum teh dengan kawan-kawan yang juga merokok,” kata pesara Cheng Chuen Tong ketika ditemui di kedai mamak di Bangsar. – 20 Oktober, 2018.
Komen
2. Peraturan keselamatan dan kesihatan kerjaya mewajibkan majikan memastikan persekitaran tempat kerja dijamin selamat dan sihat. Bukakah tanggungjawab tuanpunya kedai makan untuk memastikan tiada pihak merokok membahayakan kesihatan pekerja dan pelanggan? Apakah asas untuk mewajarkan tempat metokok di premis makan?
3. Sijil halal premis makan mensyaratkan "Adequate sanitary facilities shall be provided and maintained." Apakah asas untuk membenarkan perlakuan yang bertentangan dengan keperluan untuk memastikan kebersihan dan kesihatan premis makanan?
Muhammad Sha'ani bin Abdullah
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh MUHAMMAD SHAANI Abdullah · Ulasan
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh MUHAMMAD SHAANI Abdullah · Ulasan