Donald Trump sekali lagi beri amaran kepada Pyongyang


Pyongyang berkata mereka sedang merancang untuk melancarkan empat peluru berpandu ke Guam.– Gambar EPA, 11 Ogos, 2017

PRESIDEN Amerika Syarikat Donald Trump meningkatkan perang mulut dengan pemimpin Korea Utara Kim Jong Un apabila memberi amaran Amerika Syarikat ada “penyelesaian ketenteraan” serta sudah membuat persediaan rapi dan lengkap.

Melalui satu kenyataan di Twitter, presiden Amerika Syarikat itu berkata penyelesaian ketenteraan kini sudah siap, “locked and loaded”, sekiranya Korea Utara bertindak dengan tidak bijak.

“Harap-harapnya Kim Jong Un akan menemui jalan (penyelesaian) lain,” katanya.

Trump mengeluarkan amaran itu dibuat selepas menggandakan ancamannya dengan memberitahu wartawan ikrarnya mahu bertindak balas dengan “api dan kemusnahan” sekiranya diprovokasi oleh Pyongyang “mungkin tidak cukup keras”.

“Sekiranya Korea Utara melakukan sesuatu termasuk hanya berfikir untuk menyerang sesiapa juga yang kami sayang atau yang kami wakili atau sekutu kami atau kami sendiri, mereka pasti akan sangat gementar,” katanya.

Ini kerana katanya, Korea Utara akan menerima padah yang tidak pernah ia fikirkan.

Amaran Trump itu adalah susulan ketegangan yang tercetus Kim setelah pemimpin Korea Utara itu berkata pihaknya sedang merancang untuk melancarkan empat peluru berpandunya ke Guam.

Kenyataan itu dibuat beberapa jam selepas Presiden AS, Donald Trump memaklumkan bahawa sebarang ancaman terhadap AS akan dibalas dengan ‘api dan kemusnahan’.

Washington memberi amaran ia bersedia menggunakan kekerasan untuk menghentikan program peluru berpandu balistik serta nuklear Korea Utara dan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah sebulat suara mengenakan sekatan baharu ke atas negara itu pada Sabtu lalu.

Guam merupakan sebuah kepulauan di Pasifik yang menempatkan pangkalan tentera AS.

Pangkalan berkenaan wujud di Guam sejak Perang Dunia Kedua dan menjadi lokasi AS melepaskan pesawat pengebom AS B-52 untuk menyerang Hanoi ketika perang Vietnam 1955-1975. – 11 Ogos, 2017


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen