Arab Saudi akui Khashoggi dibunuh dalam konsulatnya di Istanbul


Miteri kehilangan wartawan veteran Jamal Khashoggi terjawab apabila Arab Saudi mengakui beliau mati dibunuh di dalam konsulatnya di Istanbul, Turki. – Gambar AFP, 20 Oktober, 2018.

ARAB Saudi pada Sabtu mengakui wartawan veteren Jamal Khashoggi dibunuh di dalam konsulatnya di Istanbul, kata media negara, dua minggu selepas kehilangannya mencetuskan kegelisahan global.

Kerajaan negara itu juga mengumumkan pemecatan seorang pegawai perisik tertinggi Ahmad al-Assiri dan penasihat media mahkamah kerajaan Saud al-Qahtani, kedua-duanya adalah pembantu utama kepada Putera Mahkota Mohammed bin Salman yang berdepan tekanan mengenai isu Khashoggi.

Khashoggi, pengkritik kepimpinan kerajaan dan kolumnis Washington Post, terakhir dilihat pada 2 Oktober lalu memasuki konsulat negaranya di Istanbul.

Kehilangannya diselubungi misteri dan mencetuskan krisis antarabangsa, dengan pegawai Turki menuduh Arab Saudi bertanggungjawab.

“Perbincangan antara Khashoggi dan orang yang ditemuinya di konsulat kerajaan di Istanbul ... menyebabkan pergaduhan yang membawa kepada kematiannya,” kata Agensi Akhbar Arab Saudi, yang memetik pendakwa raya.

Kerajaan mengumumkan 18 orang ditangkap dalam siasatan yang sedang dilakukan.

Raja Arab Saudi juga memerintahkan penubuhan jawatankuasa menteri dipengerusikan putera mahkota untuk menyusun semula agensi perisikan kerajaan itu dan “menentukan kuasanya dengan tepat”, kata media negara.

Tidak lama sebelum Riyadh mengesahkan Khashoggi dibunuh, Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan dan Raja Salman bersetuju melalui perbincangan telefon untuk meneruskan kerjasama berhubung siasatan kehilangan misteri itu.

Presiden Donald Trump pada Khamis pula berkata negara itu bakal mengeluarkan satu kenyataan “keras” dalam kes kehilangan Khashoggi yang beliau percaya sudah meninggal dunia.

Trump sebagai berkata jika pihak Arab Saudi disahkan sebagai dalang di sebalik kematian Khashoggi, negara itu bakal berdepan akibat “yang amat buruk.”

Pro-kerajaan Media Turki berulang kali mendakwa Khashoggi diseksa dan dipenggal oleh skuad Arab Saudi dalam misi diplomatik, walaupun Turki belum lagi mendedahkan butiran siasatan. – AFP, 20 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen