50 maut akibat rempuhan kereta api di India


Orang ramai melihat mayat mangsa tragedi rempuhan kereta api di bandar Amritsar, utara India semalam. – Gambar AFP, 20 Oktober, 2018.

SEKURANG-KURANGNYA 50 orang maut apabila sebuah kereta api merempuh orang ramai yang sedang berkumpul menyaksikan festival keagamaan di bandar Amritsar, utara India.

Kejadian itu berlaku apabila orang ramai membanjiri kawasan landasan kereta api untuk melihat pertunjukan bunga api sempena sambutan Dussehra.

“Bunyi kuat letupan bunga api menyebabkan orang ramai tidak sedar kehadiran kereta api,” kata polis.

Bagaimanapun jumlah mangsa yang cedera belum dapat dipastikan.

India memiliki ratusan lintasan kereta api yang tidak berpagar dan sering berlaku kemalangan, tambahan tindakan pemandu kenderaan yang mengabaikan amaran kehadiran kereta api.

Hampir 15,000 orang terkorban akibat kemalangan di landasan kereta api pada setiap tahun berdasarkan laporan kerajaan pada 2012.

Ketua Menteri Punjab Amarinder Singh telah mengarahkan siasatan dijalankan berhubung kejadian terbaharu itu.

“Tragedi ini amat menyayat hati,” kata Perdana Menteri Narendra Modi menerusi laman sosial Twitter.

“Saya mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mangsa dan berdoa agar mereka yang cedera kembali sembuh.” – AFP, 20 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen