IMAM Masjidilharam Mekah hari ini menyeru perpaduan dalam kalangan rakyat bagi berdepan ‘pembohongan’ terhadap kerajaan Arab Saudi susulan kes kehilangan wartawan negara itu yang mencetuskan krisis diplomatik.
Riyadh berdepan tekanan antarabangsa sejak kehilangan Jamal Khashoggi pada 2 Oktober lalu selepas beliau memasuki konsulat Arab Saudi di Istanbul.
Media prokerajaan Turki melaporkan Khashoggi dibunuh oleh skuad pembunuh Arab Saudi, tetapi dakwaan itu dinafikan oleh Riyadh.
“Tuduhan berulang kali, dakwaan palsu dan laporan berat sebelah pihak media tidak akan menggugat pendirian Arab Saudi,” kata Sheikh Abderrahman al-Sadis ketika menyampaikan khutbah Jumaat.
“Kerajaan ini berserah kepada Allah, kemudian kebijaksaan pemimpin dan perpaduan rakyat untuk menentang dakwaan palsu ini.”
Beliau menggesa rakyat Saudi mendapatkan fakta yang betul dan tidak membuat spekulasi berdasarkan dakwaan palsu.
Katanya laporan berat sebelah itu merupakan kempen memprovokasi perasaan umat Islam di seluruh dunia.
Sejumlah besar pemimpin turut menyatakan sokongan terhadap pihak berkuasa Arab Saudi mengendalikan kes Khashoggi manakala media di negara itu menyelar tindakan kempen yang cuba menggugat kedaulatan Riyadh. – AFP, 19 Oktober, 2018.
Komen