BEKAS timbalan perdana menteri Britain Nick Clegg yang merupakan penasihat gerakan anti-Brexit, akan memulakan tugas baharu di syarikat gergasi media sosial Facebook.
Pelantikan beliau sebagai ketua hal ehwal global dibuat selepas syarikat yang beroperasi di California, Amerika Syarikat itu berdepan tekanan undang-undang yang semakin tinggi.
“Saya gembira untuk menyertai Facebook. Selepas hampir 20 tahun terlibat dalam politik, ini merupakan pengembaraan baharu buat saya,” katanya.
Clegg berkata Facebook berdepan isu kompleks dan persoalan ramai seperti ruang peribadi individu, integriti proses demokrasi dan keseimbangan antara kebebasan bersuara dan kandungan terlarang.
Portal Financial Times melaporkan Clegg akan berpindah ke California itu pada Januari.
Lelaki berusia 51 tahun itu juga merupakan perunding perdagangan Suruhanjaya Eropah dan ahli Parlimen Kesatuan Eropah.
Clegg pernah menjadi pemimpin parti Liberal Democrats, tetapi diundi keluar dari Parlimen pada 2017 selepas parti itu mengalami kekalahan besar.
Bekas ahli politik itu juga pernah mengetuai referendum kedua yang mungkin menghentikan Brexit tetapi usul itu ditolak oleh Perdana Menteri Theresa May.
Clegg yang menyertai kerajaan pada 2010, fasih berbahasa Belanda, Perancis, Jerman dan Sepanyol. – AFP, 19 Oktober, 2018.
Komen