SEORANG lelaki Rusia yang disyaki mengintip di Parlimen Norway dibebaskan daripada penjara hari ini selepas agensi perisikan negara itu menarik semula rayuan untuk menentang keputusan tersebut.
Mikhail Bochkarev, 51 ditahan pada 21 September lalu di lapangan terbang Oslo selepas menghadiri seminar di Parlimen Norway kerana disyaki mengumpulkan maklumat bangunan itu dan rangkaiannya.
Rakaman televisyen menunjukkan Bochkarev meninggalkan penjara Oslo menggunakan sebuah kereta dari Kedutaan Rusia.
Pembebasannya dibuat selepas seorang hakim mahkamah Norway memutuskan pasukan penyiasat gagal mengukuhkan kes mereka.
Agensi perisikan PST pada awalnya mengemukakan rayuan bagi menentang keputusan itu tetapi menarik semula rayuan tersebut.
Rusia mengutuk penahanan Bochkarev sebagai tidak sepatutnya berlaku dan tidak masuk akal.
Lelaki itu kekal dalam siasatan tetapi bebas untuk meninggalkan negara itu, kata PST. – AFP, 19 Oktober, 2018.
Komen