Afghanistan tangguh pilihan raya di Kandahar


Tentera Afghanistan melakukan pemeriksaan susulan serangan Taliban di wilayah Kandahar pada Khamis. – Gambar EPA, 19 Oktober, 2018.

KERAJAAN Afghanistan menangguhkan pilihan raya Parlimen di wilayah selatan Kandahar susulan serangan keganasan yang menyebabkan ketua polis wilayah itu terkorban, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan jurucakap kerajaan pada Jumaat.

Serangan pada Khamis itu meragut nyawa sekurang-kurangnya empat pegawai tinggi wilayah tersebut, termasuk ketua polisnya Jeneral Abdul Raziq, menurut jurucakap Istana Presiden, Shah Hussain Murtazawi.

“Selaras dengan hasrat penduduk Kandahar dan syor suruhanjaya pilihan raya, Majlis Keselamatan Nasional dalam mesyuaratnya telah memutuskan untuk menangguhkan pilihan raya di Kandahar selama seminggu,” kata Hussain Murtazawi dalam akaun Twitternya.

Lebih 2,500 calon bertanding bagi merebut 249 kerusi dalam Wolesi Jirga atau Dewan Rakyat di Parlimen Afghanistan.

Pilihan raya itu dijadualkan berlangsung pada 20 Oktober dengan kira-kira 9 juta pengundi yang layak dijangka membuang undi di tengah-tengah kawalan keselamatan yang ketat.

Militan Taliban, yang mengaku bertanggungjawab melakukan serangan pada Khamis dan mengorbankan ketua polis wilayah itu, telah berikrar untuk mengganggu proses pengundian pada Sabtu. – Bernama, 19 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen