Felcra jual menara, tutup anak syarikat tidak menguntungkan


Reka bentuk Menara Felcra yang sedang dibina di Jalan Sultan Yahya Petra, Kuala Lumpur. – Gambar Felcra, 19 Oktober, 2018.

FELCRA Bhd kini sedang mencari pembeli berpotensi bagi projek Menara Felcra di Jalan Sultan Yahya Petra, Kuala Lumpur, yang telah 50 peratus siap. 

Pengerusinya, Mohd Nageeb Abdul Wahab pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan beberapa pihak yang telah menyatakan minat untuk membeli menara tersebut. 

“‘Setakat ini kami telah membelanjakan hampir RM200 juta, jadi rancangan kami (untuk menjual menara ini) adalah bagi memastikan aliran tunai kami di kawal dengan ketat dan kami tidak perlu membelanjakan pada perkara-perkara yang tidak perlu,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengarah Felcra Berhad, di sini, hari ini.

Di bawah perjanjian asal pembangunan, Felcra sebagai pemilik tanah tidak perlu mengeluarkan sebarang kos tetapi susulan perubahan kontrak yang dibuat dengan pemaju asal WZR Property Sdn Bhd, Felcra terpaksa menampung kos pembinaan sepenuhnya.

Pembinaan tersebut telah diambil alih oleh Felcra Properties Sdn Bhd dengan kos RM600 juta akibat kekangan mendapatkan pembiayaan.

Sementara itu, Mohd Nageeb berkata anak syarikat Felcra yang tidak membuat keuntungan dan bukan teras seperti hartanah akan ditutup atau digabungkan bagi mengurangkan kos dan meningkatkan kecekapan operasi.

Selain itu, program penanaman semula getah juga telah dibekukan dan Felcra kini melihat kepada potensi tanaman alternatif seperti padi dan buluh.

“Bagi prestasi kewangan Felcra pula masih di tahap yang baik, meskipun harga komoditi yang rendah kini,” katanya. – Bernama, 19 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen