Pengarah Bollywood dipecat ekoran #MeToo di India


Mukesh Chhabra (tengah) menafikan dakwaan serangan seksual terhadap beliau oleh dua orang wanita. – Gambar Facebook Mukesh Chabbra Casting Company, 19 Oktober, 2018.

STUDIO Fox Star pada hari Jumaat memecat seorang pengarah Bollywood yang dilantik bagi pembuatan semula “The Fault In Our Stars” dalam Bahasa Hindi selepas dituduh melakukan gangguan seksual oleh dua wanita.

Mukesh Chhabra adalah individu terbaru yang disasarkan pergerakan #Metoo India selepas beberapa wanita mendedahkan serangan seks yang dilakukan beberapa lelaki berkuasa dalam kerajaan, industri Bollywood dan media.

Studio Fox Star, adalah kerjasama antara Fox dan Star India, berkata Chhabra telah diminta keluar daripada projek itu kerana pihaknya “memandang serius tuduhan gangguan seksual terhadap wanita di tempat kerja”.

Sebuah jawatankuasa dalaman akan meneliti tuduhan terhadap Chhabra, katanya dalam satu kenyataan di Twitter.

Dua wanita yang tidak mahu dikenali menuduh Chhabra melakukan gangguan seksual semasa sesi temuduga bakat, lapor media tempatan.

“Beliau (Chhabra) meminta saya untuk membuat adegan hero dan heroin berpelukan,” salah seorang wanita itu dipetik sebagai berkata.

“Dengan alasan untuk menunjukkan bagaimana adegan itu perlu dilakukan, beliau menarik saya dan meraba saya, saya dapat merasakan tangannya meramas bahagian punggung saya.”

Seorang wanita lagi, memberitahu akhbar bahawa beliau mempunyai rakaman panggilan telefon di mana Chhabra berkata beliau perlu “berkompromi, dan harus melakukan hubungan fizikal dengan orang yang berkuasa”.

Filem itu, yang dibintangi oleh Sushant Singh Rajput dan Sanjana Sanghi, sepatutnya menjadi debut pertama bagi Chhabra, yang sebelum ini menjadi pengarah pemutusan bakat.

Chhabra telah menafikan dan menyifatkannya sebagai “dakwaan liar yang tidak berasas”.

Pergerakan #MeToo India telah menjadi berita utama dalam beberapa minggu kebelakangan ini menyaksikan beberapa orang wanita berkongsi mengenai gangguan seksual di Twitter. – AFP, 19 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen