PASUKAN penyiasat Turki melancarkan operasi pencarian Jamal Khashoggi di kawasan hutan Istanbul bagi merungkai misteri kehilangan wartawan Arab Saudi itu.
Khashoggi dilaporkan hilang selepas memasuki konsulat Arab Saudi di Istanbul pada 2 Oktober lalu dan dipercayai dibunuh oleh pembunuh upahan susulan kritikan beliau kepada Putera Raja Mohammed bin Salman.
Riyadh menolak dakwaan itu dan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump memburukkan lagi situasi apabila mendakwa Khashoggi telah mati.
Misi pencarian di Hutan Belgrade bermula semalam memandangkan kawasan itu terletak berhampiran dengan konsulat Arab Saudi dengan jarak kira-kira 15 kilometer.
Siasatan di kawasan itu dijalankan susulan laporan beberapa kenderaan dilihat meninggalkan bangunan konsulat pada hari kehilangan Khashoggi dan sekurang-kurangnya sebuah kereta dilihat menuju ke kawasan hutan itu.
Polis Turki sudah dua kali menggeledah konsulat Arab Saudi dan operasi pencarian di kawasan kediaman pegawai konsul pada minggu ini. – AFP, 19 Oktober, 2018.
Komen