PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Khamis berkata negara itu bakal mengeluarkan satu kenyataan “keras” dalam kes kehilangan wartawan Arab Saudi, Jamal Khashoggi, yang beliau percaya sudah meninggal dunia.
Ditanya media sama ada beliau percaya Khashoggi sudah meninggal dunia, Trump berkata “nampaknya begitulah. Ia adalah sesuatu yang amat menyedihkan.”
Agensi berita China Xinhua melaporkan Trump sebagai berkata jika pihak Arab Saudi disahkan sebagai dalang di sebalik kematian Khashoggi, negara itu bakal berdepan akibat “yang amat buruk.”
“Bagaimanapun kami masih menanti hasil tiga siasatan dan kita akan mengetahui kebenarannya tidak lama lagi,” kata beliau.
Terdahulu pada hari yang sama, Setiausaha Negara AS Mike Pompeo memberi taklimat kepada Trump berkaitan lawatannya baru-baru ini ke Arab Saudi dan Turki.
Diplomat AS itu berkata Arab Saudi perlu diberikan masa selama “beberapa hari lagi” untuk menyiasat misteri kehilangan Khashoggi.
Sementara itu, Setiausaha Perbendaharaan AS Steven Mnuchin berkata selepas bertemu Trump dan Pompeo, beliau membuat keputusan untuk membatalkan perjalanannya ke Arab Saudi bagi menghadiri satu persidangan perdagangan utama.
Kes Khashoggi, yang merupakan wartawan dan kolumnis akhbar Washington Post, telah menjadi sumber utama ketegangan antara Arab Saudi dan negara Barat.
Khashoggi dilaporkan hilang sejak beliau memasuki Konsulat Arab Saudi di Istanbul pada 2 Oktober lalu.
Laporan yang tidak sahih menyatakan bahawa Khashoggi mungkin telah dibunuh dalam kawasan konsulat itu namun dakwaan tersebut disangkal oleh para pegawai Arab Saudi yang menyifatkannya sebagai “tidak berasas.” – Bernama, 19 Oktober, 2018.
Komen