KEMENTERIAN Luar Pakistan mengumumkan bahawa Perdana Menteri Pakistan Imran Khan akan menghadiri persidangan pelaburan Arab Saudi, walaupun terdapat pembatalan dari pemimpin antarabangsa dan ketua korporat ekoran kehilangan wartawan Saudi Jamal Khashoggi.
Keputusan itu diambil sehari selepas Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat Steven Mnuchin dan menteri-menteri kanan dari Eropah mengumumkan rancangan untuk tidak menghadiri persidangan tersebut.
Langkah yang diambil Rumah Putih itu menegangkan hubungan antara kedua-dua kerajaan di tengah kekecohan berhubung kehilangan misteri Khashoggi ketika memasuki konsulat Saudi di Istanbul awal bulan ini.
Lawatan Khan itu diputuskan ketika Pakistan sedang berusaha untuk “bersahabat” dengan negara-negara lain bagi mendapatkan berbilion ringgit demi memulihkan kemerosotan kewangan Pakistan ekoran krisis pembayaran hutang dan perbincangan bersama Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) berhubung jaminan bagi krisis itu.
Penglibatan Khan dalam persidangan itu “menandakan perpaduan Pakistan dengan Saudi dalam usahanya untuk menjadi pusat perniagaan dan pelaburan antarabangsa,” kata kementerian luar negeri dalam kenyataan itu.
“Persidangan itu memberi peluang untuk Pakistan berinteraksi dengan pemimpin perniagaan penting yang berminat melabur di Pakistan.”
Persidangan tersebut dipuji sebagai satu acara berprestij tinggi demi pembaharuan ekonomi yang mahu dilaksanakan Putera Mahkota Mohammed bin Salman - yang dituduh secara meluas mempunyai kaitan dengan kehilangan Khashoggi. – AFP, 19 Oktober, 2018.
Komen