Ejen FBI bocor maklumat dipenjara 4 tahun


Dalam kes ketiga minggu ini yang dilancarkan pentadbiran Trump untuk mengekang kebocoran maklumat kepada media, Terry Albury, seorang veteran FBI dengan 17 tahun pengalaman dan seorang anak pendatang Ethiopia, diarahakan menjalani hukuman selama 48 bulan oleh hakim di Minnesota selepas mengaku bersalah. – Gambar EPA, 19 Oktober, 2018.

SEORANG bekas ejen FBI yang membocorkan dokumen dalaman menunjukkan agensi itu menggunakan profiling perkauman dalam siasatan cegah keganasan dijatuhi hukuman penjara empat tahun semalam.

Dalam kes ketiga minggu ini yang dilancarkan pentadbiran Trump untuk mengekang kebocoran maklumat kepada media, Terry Albury, seorang veteran FBI dengan 17 tahun pengalaman dan seorang anak pendatang Ethiopia, diarahakan menjalani hukuman selama 48 bulan oleh hakim di Minnesota selepas mengaku bersalah.

“Kami sedang melakukan kempen paling agresif dalam sejarah jabatan terhadap kebocoran,” kata Peguam Negara Jeff Sessions dalam satu kenyataan.

“Jenayah seperti yang dilakukan defendan dalam kes ini tidak akan ditoleransi, mereka akan di dakwa sepenuhnya mengikut undang-undang dan dihukum.”

Albury adalah ejen khas di FBI Minneapolis pada 2016 dan 2017 apabila beliau membocorkan Panduan Operasi Siasatan Domestik kepada The Intercept.

Panduan itu menunjukkan bagaimana agensi itu menggunakan profiling kaum dan agama untuk siasatan, melanggar peraturan untuk menyeludup masuk kumpulan aktivis dan merisik wartawan.

Peguam Albury berkata, selaku satu-satunya ejen berkulit hitam di pejabat Minneapolis, beliau menyedari wujudnya sikap perkauman dalam pasukannya dan bagaimana ia menyukarkan untuk meraih kepercayaan masyarakat Somali-Amerika di kawasan itu- kumpulan itu menyaksikan banyak kes belia lelaki menyertai kumpulan pengganas Al-Shabab dan IS.

Peguam Albury menegaskan hasrat anak guamnya membocorkan rahsia hanyalah untuk mencetuskan wacana “tentang bagaimana mengekalkan keseimbangan antara kebebasan dan keselamatan.”

Pendakwa raya bagaimanapun mencadangkan yang Albury menyimpan dendam terhadap majikannya dan akan terus membocorkan maklumat rahsia.

Hukuman itu dijatuhkan sehari selepas seorang lagi ejen persekutuan menahan seorang kakitangan Perbendaharaan kerana membocorkan maklumat kepada BuzzFeed, pesaing Intercept, dengan pertukaran wang melibatkan maklumat siasatan campur tangan pilihan raya dilakukan Rusia.

Pada Isnin lalu, seorang kakitangan Senat AS yang ditahan tahun ini kerana didakwa membocorkan maklumat kepada teman wanitanya yang bekerja sebagai wartawan juga mengaku bersalah kerana menipu ejen FBI.

Kebocoran itu juga melibatkan siasatan Rusia, yang menyaksikan beberapa bekas pembantu Donald Trump disabitkan bersalah atau mengaku bersalah.

Setahun lalu, Sessions berkata Jabatan Kehakiman mempunyai 27 siasatan kebocoran maklumat. – AFP, 19 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen