.jpg)
KENYATAAN keras Anwar Ibrahim yang menyebutkan bahawa pembeli undi dalam pemilihan Keadilan sebagai “haprak syaitan” wajar diambil berat. Semua anggota parti tidak boleh menerima amalan baharu ini, waima selepas Keadilan dan Pakatan Harapan menang dan menjadi kerajaan.
Kita sedar bahawa perbuatan membeli undi itu adalah kerja parti yang dikalahkan dalam pilihan raya umum (PRU) yang lalu. Tidak ada ertinya seseorang itu menang dalam pemilihan parti tetapi akhirnya membawa kekalahan parti dalam PRU kerana rakyat membenci.
Rakyat tidak bodoh. Anggota parti juga tidak bodoh. Kita dididik untuk membenci politik wang dalam apa juga keadaan, dan saya percaya pemimpin yang menggunakan wang dan tawaran akan ditolak oleh anggota parti. Keadilan masih menjadi parti yang penuh idealisme.
Seperti mana pilihan raya, pemilihan parti tentu akan melibatkan belanja, tetapi bukan untuk membeli undi. Sistem satu undi satu anggota adalah sistem terbaik untuk mengurangkan dan menghapuskan terus politik wang.
Mereka yang mempunyai duit bertimbun pun akan berfikir dua kali untuk “melaburkan” wang kekayaan mereka kerana anggota yang perlu dibeli adalah terlalu ramai. Semakin ramai anggota Keadilan, semakin mahal dan sukar untuk dibeli.
Saya mengajak dan merayu agar pemilihan PKR kekal sebagai wadah untuk masing-masing menyumbang idea dan gagasan demi parti, rakyat dan negara. Sebarang bentuk kecurangan wajar dilaporkan langsung kepada JPP dan jawatankuasa disiplin wajib bertindak segera untuk menanganinya. Keduanya harus dilihat bebas dan adil.– 19 Oktober, 2018.
*Rashid Hasnon adalah calon Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen