AS berbohong berhubung dakwaan sifar eksport minyak, kata Iran


Ketua Syarikat Minyak Nasional Iran (NIOC) Ali Kardor berkata Presiden AS Donald Trump berhempas-pulas selama berbulan-bulan untuk mencari jalan bagi mengurangkan eksport minyak Iran. – Gambar EPA, 18 Oktober, 2018.

DAKWAAN Amerika Syarikat (AS) bahawa ia akan mengurangkan eksport minyak Iran kepada sifar adalah satu “pembohongan politik,” lapor agensi berita China Xinhua memetik laporan Financial Tribune pada Khamis.

Financial Tribune melaporkan bahawa ketua Syarikat Minyak Nasional Iran (NIOC) Ali Kardor berkata Presiden AS Donald Trump telah berhempas-pulas selama berbulan-bulan untuk mencari jalan bagi mengurangkan eksport minyak Iran.

“Presiden AS itu telah melakukan segalanya dan beliau sedar bahawa usaha untuk mengurangkan eksport minyak Iran kepada sifar adalah satu pembohongan politik,” kata Ali.

Beliau juga berkata meskipun berdepan sekatan pembiayaan dan perbankan AS, Iran tidak mengalami kesulitan dalam menerima pembayaran bagi eksport minyak dan boleh menerima pembayaran dalam mata wang euro, dan bukannya dolar AS, jika perlu.

“Tiada masalah dalam isu ini,” katanya sambil menambah bahawa dengan sokongan Eropah, tiada sebarang masalah akan timbul.

Pentadbiran AS telah mendesak sekutunya untuk mengurangkan eksport minyak Iran dan menggalakkan Arab Saudi serta anggota OPEC (Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum) yang lain untuk mengepam lebih banyak minyak bagi memenuhi kekurangan di pasaran global.

Para pegawai kanan AS sering menyatakan bahawa matlamat mereka adalah mengurangkan eksport minyak Iran kepada sifar “untuk memaksa Tehran mengubah tingkah lakunya di rantau ini.”

Sekatan baharu AS terhadap eksport minyak Iran dijangka bermula dari 4 Nov. – Bernama, 18 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen