Geramm kecam serangan peribadi ke atas wartawan


GERAKAN Media Merdeka (Geramm) mengecam tindakan pegawai khas kepada seorang menteri yang secara tidak langsung telah menyebabkan berlaku ‘cyber bully’ ke atas seorang wartawan Utusan Malaysia hari ini.

Geramm tegas dengan pendirian bahawa pertikaian tentang mana-mana laporan media boleh diselesaikan melalui saluran rasmi.

Sekiranya berlaku kesilapan, makluman boleh diberikan terus kepada pihak media berkenaan, tanpa mendedahkan wartawan terbabit kepada serangan peribadi.

Dalam satu posting Facebook, pegawai khas berkenaan telah memetik laporan Utusan Malaysia, sambil mempersoalkan nilai berita yang  ditulis berdasarkan kenyataan dikeluarkan secara “bergurau” oleh menteri terbabit. 

Pada masa yang sama, beberapa media lain turut menerbitkan berita dengan tajuk hampir serupa, tetapi tidak dipersoalkan oleh pegawai berkenaan.

Geramm mengucapkan terima kasih kerana posting tersebut telahpun dipadamkan, dipercayai setelah Utusan Malaysia menukar tajuk berita yang dipertikaikan.

Walaubagaimanapun gangguan terhadap wartawan tersebut telah berlaku di media sosial.

Ini termasuk dari netizen yang ‘terlebih rajin’ mencari profile Facebook wartawan berkenaan.

Justeru kami berharap agar mana-mana wartawan tidak di sasarkan dalam sebarang isu antara pihak kerajaan dan syarikat media yang semestinya mempunyai sumber, kecekapan dan pemikiran matang dalam menyelesaikan sebarang masalah

Susulan insiden ini, Geramm sekali lagi menegaskan pendirian menyokong penubuhan Majlis Media Malaysia, satu badan bebas yang diharapkan dapat menjadi platform bagi menyelesaikan apa-apa pertikaian dengan mana-mana organisasi media.

* Geramm ialah Gerakan Media Merdeka, yang memperjuangkan kebebasan media.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen