Selepas dikecam, sekolah buang label cawan ‘Islam’ dan ‘bukan Islam’


Low Han Shaun

Gambar yang tular di media sosial ini mencetuskan kemarahan ramai. – Gambar Facebook, 11 Ogos, 2017.

LABEL cawan yang sepatutnya digunakan pelajar Islam dan bukan Islam di sebuah sekolah di Selangor sudah dibuang selepas gambar cawan dengan label itu tular di media sosial dan mencetuskan kemarahan ramai.

The Malaysia Insight melawat sekolah itu di Taman Puteri di Hulu Langat hari ini dan mendapati pelajar tidak terkesan dengan perubahan itu dan tidak menyedari kemarahan dan ketegangan yang dicetuskan label itu.

Pelajar mengatakan cawan itu diletakkan bersebelahan mesin air di koridor. Mereka menggunakannya apabila hendak minum.

Ditanya mengapa cawan itu dilabelkan, sebilangan pelajar mengatakan mereka tidak tahu dan hanya mengikut arahan.

Rak yang menempatkan cawan plastik di atas mesin air itu tidak lagi menggunakan label yang menyinggung itu, dan digantikan dengan arahan baru yang tertulis:  “Sila cuci gelas ini selepas digunakan dan letakkan di tempat yang disediakan.”

The Malaysian Insight mengambil gambar label baru itu tetapi ditahan guru dan diminta keluar daripada perkarangan sekolah, dan diiring oleh guru tersebut untuk keluar dari sekolah. Guru itu turut memastikan gambar itu dipadamkan.

Cubaan untuk bercakap dengan guru dan ibu bapa juga gagal kerana mereka menafikan “tidak mengetahui tentang perkara tersebut”.

Notis baru yang diletakkan selepas kekecohan label cawan itu. – Gambar The Malaysian Insight, 11 Ogos, 2017.

Berita Daily melaporkan yang guru besar sekolah itu, ketika lawatan Ketua Biro Pendidikan Pemuda MIC Ganesan Seerangam, memetik alasan “kesihatan” dan amalan beberapa pelajar bukan Islam yang membawa dan memakan makanan tidak halal di sekolah sebagai alasan pengasingan cawan itu.

“Saya terkejut apabila beliau (guru besar) mempertahankan tindakannya demi menjaga ‘kesihatan’ murid.

“Menurut guru besar itu, terdapat beberapa murid membawa makanan tidak halal ke sekolah, mendorong beliau menyediakan cawan asing bagi murid Muslim dan bukan Muslim,” kata Ganesan

Sekolah itu mempunyai 214 pelajar Melayu, 163 pelajar India dan lima pelajar Cina, kata Ganesan.

“Pengasingan cawan” itu mencetuskan kemarahan ramai termasuklah NGO dan ahli politik seluruh negara.

Kumpulan Bertindak Ibu Bapa Bagi Pendidikan Malaysia (Page) mengatakan amalan itu adalah satu bentuk pengasingan dan perlu dihentikan.

Naib Presiden Amanah Mujahid Yusof Rawa berkata pengasingan cawan itu sebagai “amalan keras” yang boleh menyebabkan masalah lain dan “Islam tidak meminta perkara ini”.

Pengerusi Biro Keharmonian Agama MCA Tian Lian Ker mengatakan ia menggalakkan prejudis.

G25, sebuah kumpulan yang menghimpunkan bekas penjawat awam Melayu unggul menyifatkan amalan itu sebagai “bodoh” dan “tak masuk akal”.  – 11 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen