Facebook lancarkan 'bilik perang' untuk banteras manipulasi


Facebook membentuk unit 'bilik' perang bagi membanteras anasir luar yang cuba menggunakan ruang digital bagi memanipulasi pilihan raya. – Gambar EPA, 18 Oktober, 2018.

DALAM “Bilik Perang” di Facebook, ruang kosong yang dihiasi dengan bendera Amerika dan Brazil, sekumpulan 20 orang memantau skrin komputer untuk memantau tanda-tanda aktiviti yang mencurigakan.

Unit baru yang dilancarkan di ibu pejabat Facebook Menlo Park di California itu adalah pusat utama yang dibentuk bagi memerangi maklumat palsu dan manipulasi rangkaian sosial terbesar tersebut.

Manipulasi itu dipercayai dilakukan negara-negara asing yang cuba mempengaruhi pilihan raya di Amerika Syarikat dan di tempat lain.

Di dalamnya, dinding dengan jam yang mempamerkan masa di pelbagai kawasan AS dan Brazil, peta dan skrin TV yang menunjukkan CNN, Fox News dan Twitter, dan monitor lain yang menunjukkan grafik aktiviti Facebook secara langsung.

Facebook, sebelum ini dipersalahkan kerana melakukan terlalu sedikit usaha bagi mengelakkan salah laku oleh pihak Russia dan lain-lain dalam Pilihan Raya AS 2016.

Ia kini mahu seluruh dunia maklum bahawa ia mengambil langkah agresif dengan inisiatif seperti pembentukan ‘bilik perang’ itu.

“Tugas kami adalah untuk mengesan ... Sesiapa yang cuba memanipulasi perdebatan awam,” kata Nathaniel Gleicher, bekas pengarah dasar keselamatan digital Rumah Putih bagi Majlis Keselamatan Negara yang kini mengetuai dasar keselamatan Facebook.

“Kami berusaha mencari dan membanteras para pelaku (manipulasi) ini.“katanya lagi.– AFP, 18 Oktober, 2018.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen