SEORANG pegawai Jabatan Perbendaharan Amerika Syarikat (AS) ditahan kerana membocorkan maklumat kepada portal Buzzfeed berhubung pemindahan wang melibatkan beberapa individu penting dalam siasatan campur tangan Rusia pada pilihan raya Presiden AS 2016.
Natalie Mayflower Sours Edwards, penasihat kanan Rangkaian Penguatkuasa Jenayah Kewangan Jabatan Perbendaharaan (FinCEN), ditahan pada Selasa di Virgina, lapor kenyataan Jabatan Kehakiman.
Penahanan itu merupakan yang terbaru melibatkan usaha kerajaan menangai isu kebocoran maklumat kepada media ketika tekanan ke atas Presiden AS Donald Trump semakin meningkat susulan gesaan siasatan terhadap dakwaan Trump bekerjasama dengan Rusia pada pilihan raya itu.
Dakwaan tersebut merujuk kepada siri pendedahan BuzzFeed berhubung siasatan Jabatan Perbendaharaan terhadap pemindahan wang oleh pihak dari Rusia.
Edwards, 40, didakwa membocorkan malumat tentang laporan aktiviti yang mencurigakan kepada pihak media.
Penahanan itu juga menunjukkan usaha bersungguh-sungguh kerajaan Trump untuk mengatasi masalah kebocoran maklumat.
Jabatan Kehakiman berkata lebih 20 siasatan melibatkan kebocoran maklumat telah dilaksanakan sejak awal 2017. – AFP, 18 Oktober, 2018.
Komen