Mendapatkan gelaran kehormatan dengan wajar dan bermaruah


Mustafa K. Anuar

Gelaran kehormatan tidak harus dianugerahkan kepada seseorang hanya kerana beliau ada kedudukan kuasa (dan kaya) dalam masyarakat dan ia mestilah kerana sumbangan yang melampaui tanggungjawab jawatan itu. – Gambar YouTube, 18 Oktober, 2018.

DEBAT tentang darjah kebesaran seperti dijangka sudah beralih angin, gara-gara bekas Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Mohd Razlan Rafii yang keliru tidak tentu hala.

Mohd Razlan mendakwa ketegasan pimpinan DAP bahawa ahli politiknya tidak boleh menerima darjah kebesaran negeri bukti parti itu tidak setia kepada raja. Itu saja alasannya.

Rasional yang dihujahkan oleh pimpinan DAP ialah – dan sebetulnya, itulah juga pandangan rakyat Malaysia yang berfikiran wajar – ahli politik atau sesiapa saja hendaklah sudah berjasa kepada masyarakat sebelum boleh dianugerahkan gelaran oleh negeri.

Memang munasabah untuk mengharapkan pemimpin politik supaya hanya menerima kebesaran negeri atas sumbangan mereka selepas berkhidmat sekian tahun kepada rakyat, mengatasi jangkaan tanggungjawab jawatan yang mereka pegang.

Apa yang jelas, gelaran kehormatan tidak harus dianugerahkan kepada seseorang hanya kerana beliau ada kedudukan kuasa (dan kaya) dalam masyarakat. Ia mestilah kerana sumbangan yang melampaui tanggungjawab jawatan itu.

Dalam erti kata lain, mesti ada sesuatu yang hendak diraikan tentang seseorang itu dan sesuatu yang membuatkan kita semua rasa hormat.

Pihak berkuasa negeri yang terlibat haruslah bijak menentukan siapa yang mereka kurniakan anugerah.

Jika tidak, kita akan terus berdepan dengan insiden memalukan seorang Datuk didapati bersalah atas jenayah yang tidak wajar dilakukan oleh seseorang berkedudukan sepertinya.

Atau, seorang Datuk yang potong barisan di pintu tol lebuh raya hanya kerana beliau ada plak Datuk di atas nombor plat keretanya.

Pendek kata, mereka yang asalnya tidak wajar diberi kehormatan kemudiannya mula merasakan diri mereka berhak dan layak.

– Gambar AFP, 18 Oktober, 2018.

Cuba lihat dari sisi lain, Encik Mohd Razlan. Ini satu usaha untuk mengembalikan kehormatan yang datang dengan anugerah itu, yang sudah direndahkan martabatnya oleh mereka berbangga-bangga dengannya.

Lebih buruk lagi, sesetengah mereka yang menyalahgunakan gelaran itu hanya memperpanjangkan budaya ala feudal yang berkehendakkan seorang Datuk dihormati, kalau pun bukan digeruni, tidak kira apa yang beliau lakukan.

Masalah dengan gelaran kebesaran ini juga berjangkit dalam masyarakat, termasuk dalam banyak-banyak ruang – dunia pendidikan.

Kita selalu melihat bagaimana gelaran Datuk diberikan kepada seseorang yang duduk dalam pengurusan atas sebuah universiti selepas memegang jawatan setahun dua.

Kita bertanya-tanya apakah sumbangan penting mereka, sekiranya layak menerima gelaran itu – selain memikul tanggungjawab yang datang bersama jawatan itu. Seperti gelaran profesor yang mesti diperolehi dengan selayaknya, gelaran Datuk pun begitu juga.

Namun, sekirany ahli akademik itu sudah memberikan sumbangan besar dalam bidang kepakarannya, manfaatnya bukan saja dirasai oleh golongan akademik tetapi juga, dan lebih utama, masyarakat terbanyak.

Dalam persekitaran yang sepatutnya membahaskan idea dengan bebas atas semangat intelektual yang sihat, salah guna gelaran seperti itu boleh membantutkan kemajuan.

Ada sebuah cerita tentang ini. Dalam sebuah forum akademik, seorang Datuk – yang juga seorang profesor – marah apabila pandangannya dicabar oleh orang lain yang tiada apa-apa yang hanya mahu bertukar fikiran dan mencari kebenaran.

Seperti yang kita boleh lihat, anugerah Datuk bukan sahaja mesti telus tetapi memerlukan piawai yang ketat, yang tidak boleh dipertikaikan oleh sesiapa.

Jika tidak, akan jadilah seperti seekor kerbau yang membawa lumpur, habis terpalit semua. – 18 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen