Remaja guna abu mayat datuk hasilkan biskut


Seorang remaja perempuan di California menggunakan abu mayat datuknya untuk menghasilkan biskut. – Gambar Wikipedia, 18 Oktober, 2018.

SEORANG remaja perempuan di California, Amerika Syarikat dipercayai menggunakan abu mayat datuknya untuk dijadikan biskut sebelum memberi makanan itu kepada rakan-rakannya di sekolah.

Media tempatan Times melaporkan, remaja itu didakwa memberi biskut itu kepada sekurang-kurangnya sembilan pelajar.

Segelintir pelajar itu memakan biskut berkenaan tanpa mengetahui bahawa ia diperbuat daripada abu datuk remaja itu.

Namun beberapa pelajar lain di sekolah Da Vinci Charter Academy itu yang mengetahui kandungan biskut tersebut tetap memakannya.

Seorang daripada pelajar, Andy Knox memberitahu stesen televisyen tempatan KRCA, dia dalam perjalanan ke kelasnya sebelum seorang pelajar muda menawarkan biskut itu yang dikatakan mempunyai ramuan khas.

“Saya pada mulya berfikir dia meletakkan sesuatu seperti ganja atau seumpamanya.

“Namun dia mengakui meletakkan abu mayat datuknya. Saya benar-benar rasa terkejut,” katanya.

Polis menyiasat kejadian itu yang berlaku pada 4 Oktober lalu tetapi tiada penahanan dibuat atau tindakan diambil ke atas remaja itu.

Pihak berkuasa tempatan juga mengeluarkan kenyataan bahawa pelajar di sekolah itu selamat dan tiada isu kesihatan berlaku. – AFP, 18 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen