SATU pasukan penyiasat Turki melakukan pencarian di Kedutaan Arab Saudi di Istanbul buat kali kedua dalam siasatan kehilangan wartawan Jamal Khashoggi, kata wartawan AFP.
Polis Turki pada Rabu juga melakukan pencarian di kediaman Duta Arab Saudi ke Istanbul, Mohammed al-Otaibi, sehari selepas beliau meninggalkan Istanbul balik ke Riyadh.
Khashoggi, bekas orang kuat yang jadi pengkritik lantang Putera Arab Saudi Putera Mohammed bin Salman menulis artikel untuk akhbar utama termasuklah Washington Post. Beliau tidak dapat dikesan sejak memasuki Kedutaan Saudi di Istanbul pada 2 Oktober lalu.
Pegawai Turki berkata mereka percaya beliau dibunuh walaupun ia tidak disahkan Arab Saudi.
Sekitar jam 4.00pm waktu tempatan, sepasukan anggota polis dan pendakwa raya termasuk pakar forensik memasuki bangunan kedutaan, tempat didakwa pembunuhan itu berlaku, menurut media Turki.
Penyiasat memeriksa kebun, dan ada juga yang dilihat berada di atas bumbung. Dron juga digunakan di seluruh bangunan, menurut wartawan AFP yang berada di tempat kejadian.
Penyiasat meninggalkan kedutaan sekitar jam 1.30 pagi, tetapi sebahagian mereka menuju ke bangunan kedutaan berhampiran untuk meneruskan pencarian yang berlangsung sehingga awal pagi Khamis.
Polis Turki pada malam Isnin melakukan pencarian selama lapan jam di kedutaan, mengambil sampel tanah dan DNA. – AFP, 18 Oktober, 2018.
Komen