Lelaki bakar masjid di Texas dipenjara 24 tahun


Marq Perez disabitkan bersalah Julai lalu kerana jenayah kebencian dan kebakaran sengaja pada Januari 2017 kerana membakar Pusat Islam Victoria di Selatan Texas. – Gambar EPA, 18 Oktober, 2018.

SEORANG lelaki yang disabitkan bersalah kerana membakar sebuah masjid di Texas tahun lepas dijatuhi hukuman penjara lebih 24 tahun untuk jenayah yang dakwa pendakwa raya jenayah kebencian.

Marq Perez disabitkan bersalah Julai lalu kerana jenayah kebencian dan kebakaran sengaja pada Januari 2017 kerana membakar Pusat Islam Victoria di Selatan Texas.

Lelaki berusia 26 tahun itu memecah masuk masjid itu seminggu sebelum membakarnya untuk membuat tinjauan, kata Jabatan Kehakiman (DoJ) dalam satu kenyataan memetik keterangan perbicaraan.

Saksi yang memberi keterangan pada malam kejadian berkata Perez menggunakan pemetik api untuk memulakan kebakaran menggunakan kertas dan menggambarkan “bagaimana Perez teruja melihat masjid itu terbakar beberapa minit kemudian,” kata DoJ.

Saksi memberi keterangan juga berkata Perez mahu “menghantar mesej”, menambah yang keterangan saksi lain juga membuktikan suspek menggunakan ucapan anti Islam.

“En Perez mahu mencetuskan keganasan,” kata agen FBI Edward Michel dalam satu kenyataan.

“Tidak ada sesiapaun di negara ini perlu rasa takut untuk mengamalkan agama mereka atau kepercayaan secara terbuka.”

Jenayah itu mencetuskan sokongan seluruh dunia untuk masyarakat Islam di bandar Victoria, Texas.

Kempen jana derma GoFundMe menerima sumbangan lebih AS$1 juta daripada penderma lebih 90 negara untuk membina semula masjid itu. Ia dibuka semula September lalu.

“Dengan rendah diri kami sangat terharu dengan sokongan emosi dan kewangan yang diberikan dan terus diberikan kepada kami sepanjang bencana ini,” kata masjid itu menerusi kempen tersebut. – AFP, 18 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen