TURKI masih menunggu kebenaran Arab Saudi untuk mengeledah rumah konsul jeneral Arab Saudi di Istanbul, sebagai sebahagian siasatan kes kehilangan wartawan, Jamal Khashoggi, lapor agensi berita Xinhua.
Arab Saudi telah “menerima” permohonan tersebut, namun belum memberikan sebarang keputusan, kata Menteri Dalam Negeri Turki, Suleyman Soylu kepada agensi berita Anadolu pada Rabu.
Sebaik sahaja kesepakatan mengenai perkara itu dicapai, pencarian di kediaman itu akan dilakukan.
Soylu berkata Turki mengendalikan kes itu secara telus dan terbuka berdasarkan lunas undang-undang.
Konsul Jeneral Arab Saudi Mohammad al-Otaibi dilaporkan meninggalkan Turki dan berlepas ke Riyadh pada Selasa, di tengah-tengah siasatan dijalankan.
Pada Isnin, pasukan penyiasat Turki melakukan operasi mencari selama sembilan jam di bangunan konsulat, tempat di mana wartawan berasal dari Arab Saudi itu kali terakhir dilihat pada 2 Oktober. – Bernama, 17 Oktober, 2018.
Komen