KETUA Menteri Sarawak Abang Johari Openg enggan menjawab soalan berhubung Air Pancut Berirama Darul Hana di hadapan bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) bernilai RM31 juta yang disifatkan terlalu mahal oleh Adun See Chee Hou dari PKR.
Abang Johari berkata beliau hanya akan menjawab soalan berkenaan bandar sihat pada sidang media selepas merasmikan persidangan dan perhimpunan agung Alliance for Healthy Cities (AFHC) di Kuching hari ini.
See, Adun Batu Lintang, semalam mempersoalkan mengapa air pancut yang panjangnya hanya 80 meter itu dibina dengan harga yang sangat mahal dan meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat projek berkenaan.
Katanya lagi, dua lagi mercu tanda berdekatan yang baru sahaja disiapkan iaitu Jambatan Darul Hana atau popular dengan nama jambatan Emas “S” yang dirasmikan pada November tahun lepas bernilai RM35 juta, dan masjid terapung yang terletak hanya beberapa meter dari jambatan itu yang kini hampir siap bernilai RM10 juta.
Jambatan Darul Hana menghubungkan hab komersil bandar di sebelah selatan Sungai Sarawak ke bangunan DUN, Istana dan 12 perkampungan Melayu di sebelah utara.
“Adakah air pancut Darul Hana setanding dengan Jambatan Darul Hana atau kosnya tiga kali ganda kos masjid terapung?” soal See.
Beliau juga bertanya adakah projek tersebut “terlalu mahal” dan memihak kepada kontraktor.
See tidak menamakan kontraktor terbabit, tetapi projek itu diserahkan kepada Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) manakala kontraktor pembinaannya dilaksanakan secara konsortium oleh PPES Works (Sarawak) Sdn Bhd dan Naim Land Sdn Bhd. – 17 Oktober, 2018.
Komen