Presiden Brazil didakwa terlibat rasuah, ubah wang haram


Presiden Brazil Michel Temer pernah dua kali terselamat daripada didakwa dengan rasuah, sejak mengambil alih jawatan presiden pada Ogos 2016. – Gambar EPA, 17 Oktober, 2018.

PRESIDEN Brazil Michel Temer didakwa terbabit rasuah, pengubahan wang haram dan berkomplot melakukan jenayah, menurut Polis Persekutuan Brazil pada Selasa.

Polis Persekutuan mempunyai bukti cukup berhubung jenayah itu dan mengemukakan permohonan supaya semua aset presiden disita.

Selain Temer turut didakwa 10 lagi, termasuk anak perempuannya Maristela dan rakan rapatnya, Kolonel Joao Baptista Lima Filho, lapor agensi berita Xinhua.

Kes tersebut dikemukakan kepada Ketua Pejabat Pendakwa dan akan membuat keputusan dalam tempoh 15 hari sama ada meneruskan kes itu.

Jika pejabat pendakwa memutuskan kes Temer dirujuk ke Mahkamah Agung, Majlis Persekutuan perlu membenarkan kes itu diteruskan.

Sebelum ini, Temer dua kali terselamat daripada didakwa, sejak beliau mengambil alih jawatan presiden pada Ogos 2016. Beliau akan menerajui pentadbiran negara sehingga Disember 2019. – Bernama, 17 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen