Tsunami boleh landa Sabah 30 minit selepas gempa


Pengarah Pusat Penyelidikan Bencana Alam Universiti Malaysia Sabah, Dr Felix Tongkul berkata tsunami boleh membadai perairan negeri antara 30 hingga 120 minit selepas gempa bumi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Oktober, 2018.

Ahli akademik meramalkan gelombang tsunami setinggi satu hingga lima meter boleh melanda Sabah jika berlaku gempa di rantau ini, lapor Borneo Post.

Pengarah Pusat Penyelidikan Bencana Alam Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Felix Tongkul berkata tsunami boleh membadai perairan negeri antara 30 hingga 120 minit selepas gempa bumi.

Beliau berkata ini berdasarkan simulasi yang dijalankan oleh pusat itu.

Felix menegaskan Tawau berdepan ancaman paling besar kerana topografi yang rendah dan terdedah kepada gelombang pasang surut dari Sulawesi.

Sulawesi baru-baru ini dilanda tsunami yang menyebabkan ribuan nyawa menjadi korban.

Beliau berkata Sabah pernah dilanda tsunami pada masa lalu berdasarkan rekod yang terdapat di Filipina.

“Ombak setinggi dua meter melanda bahagian utara Sabah pada 21 September 1897 berikutan gempa bumi 7.5 magnitud di Laut Sulu di Zamboanga, Filipina,” katanya selepas bengkel pendidikan gempa untuk pelajar sekolah rendah dan menengah di Ranau, semalam.

Jabatan meteorologi pada Khamis mengesan dua gempa bumi berukuran sederhana di Mindanao, Filipina tetapi tidak menimbulkan ancaman tsunami kepada Sabah.

Beliau menasihatkan penduduk yang tinggal di Tawau sentiasa berwaspada dan bersedia sekiranya daerah itu dilanda tsunami pada masa akan datang.

Felix juga menasihatkan mereka menyedari apa yang perlu dilakukan sekiranya berlaku tsunami.

Antaranya termasuk mengenal pasti lokasi paling tinggi yang terhampir dengan mereka atau bergerak ke pedalaman secepat mungkin, menyatakan kekuatan gelombang tsunami semakin berkurang apabila ia bergerak ke pedalaman.

Beliau juga memberi amaran tsunami utama boleh diikuti dengan beberapa gelombang tsunami yang seterusnya. – 17 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen