KEHILANGAN wartawan Jamal Khashoggi di konsulat Arab Saudi, di Istanbul sejak dua minggu lalu merupakan bayangan pentadbiran Arab Saudi pada masa akan datang, kata wartawan CNN, Nic Robertson.
Robertson berkata, ia berikutan usaha negara teluk itu untuk mendiamkan pengkritiknya selain perebutan kuasa antara kerabat diraja negara berkenaan.
“Kesan kehilangan Jamal Khashoghi di konsulat Arab Saudi sejak dua minggu lalu akan berterusan selama bergenerasi.
“Kita mungkin menyaksikan bukan sahaja kehilangan pengkritik, tetapi ketegangan antara kerabat diraja Arab Saudi yang berebut kuasa,” kata Robertson.
Khashoggi memiliki kerakyatan Arab Saudi tetapi menetap di Amerika Syarikat sering memberikan kritikan keras terhadap Putera Mahkota Mohammed Salman.
Beliau dilaporkan hilang sejak dilihat memasuki konsulat Arab Saudi di Istanbul pada 2 Oktober lalu bagi menguruskan dokumen perkahwinannya.
Kerajaan Turki percaya wartawan itu dibunuh, namun Arab Saudi menafikan dakwaan itu sekeras-kerasnya.
Laporan CNN sebelum ini memetik kenyataan dua sumber bahawa kerajaan negara teluk itu sedang menyediakan laporan yang mengakui wartawan berkenaan meninggal dunia ketika sedang disoal siasat selepas satu penculikan terancang.
Seorang sumber CNN menarik perhatian, laporan itu masih dalam penyediaan dan mungkin diubah manakala satu lagi sumber berkata, ia mungkin memberitahu bahawa satu operasi dilaksanakan tanpa kebenaran dan pihak bertanggungjawab akan dihukum.
Robertson dalam laporannya berkata, Raja Salman kini membenarkan penyiasat Turki memasuki konsulat bagi menjalankan siasatan.
Tindakan itu katanya, diambil selepas panggilan telefon beliau dengan dengan Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan. – 17 Oktober, 2018.
Komen