Laporan Turki: Suspek dalam kes wartawan Arab Saudi hilang


Jamal Khashoggi, wartawan Arab Saudi yang lantang mengkritik dasar negara itu yang dibuat oleh Putera Mahkota Mohammed bin Salman hilang selepas memasuki konsulat negaranya di Istanbul. – Gambar fail AFP, 17 Oktober, 2018.

SEORANG suspek yang dikenal pasti oleh Turki terbabit dalam kehilangan wartawan Arab Saudi, adalah seseorang yang sering menemani Tengku Mahkota Mohammed bin Salman, lapor The New York Times hari ini.

Tiga lagi suspek juga dikaitkan dengan putera Arab Saudi itu dan seorang lagi suspek ialah doktor forensik, lapor akhbar itu.

Khashoggi, seorang warganegara Arab Saudi yang menulis untuk satu ruangan di The Washington Post dan mengkritik dasar putera itu, hilang sejak kali terakhir dilihat memasuki konsulat Arab Saudi di Istanbul pada 2 Oktober untuk mendapatkan dokumen perkahwinannya.

Sumber kerajaan Turki berkata polis percaya wartawan itu dibunuh oleh pasukan khas 15 pegawai Arab Saudi yang dihantar ke Istanbul.

Riyadh bertegas mengatakan wartawan itu keluar dari konsulat dengan selamat.

Seorang suspek, Maher Abdulaziz Mutreb ialah diplomat di Kedutaan Arab Saudi di London pada 2007.

Mutreb, mungkin seorang pengawal keselamatan peribadi, dilihat keluar dari pesawat bersama Putera Mohammed dalam perjalanan ke Madrid dan Paris baru-baru ini, lapor akhbar itu.

Mutreb juga kelihatan berdiri berkawal ketika lawatan Putera Mohammed ke Amerika Syarikat iaitu ke Houston, Boston dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

The Times melaporkan tiga lagi suspek ialah Abdulaziz Mohammed al-Hawsawi – anggota pasukan keselamatan yang menemani perjalanan Putera Mohammed – Thaar Ghaleb al-Harbi dan Muhammed Saad Alzahrani.

Harbi dan Alzahrani mempunyai nama dua individu yang dikenal pasti sebagai ahli pasukan keselamatan diraja Arab Saudi, lapor akhbar itu.

Suspek kelima ialah pakar bedah siasat, , Salah al-Tubaigy yang dikenali sebagai ketua Majlis Saintifik dan Forensik Arab Saudi.

Pada Isnin, CNN memetik dua sumber berkata Arab Saudi sedang menyiapkan laporan bahawa kematian Khashoggi berpunca daripada soal siasat. – AFP, 17 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen