PIMPINAN Umno di bahagian kurang selesa dengan cadangan parti itu mahu menurunkan kuasa dari ibu pejabat kepada mereka, bimbang kuasa yang lebih luas itu akan disalah guna oleh sesetengah ketua bahagian.
Mereka berpendapat dalam keadaan Umno sekarang tidak kuat selepas kalah Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), cadangan Presiden Ahmad Zahid Hamidi itu wajar diperhalusi terlebih dulu termasuk mendengar pandangan daripada pimpinan di peringkat cawangan.
Dalam ucapannya di Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini, Zahid mencadangkan supaya Umno di peringkat bahagian dan negeri diberi kuasa tertentu antaranya meluluskan pendaftaran ahli baharu dan menentukan calon pilihan raya bagi parti itu.
Ketua Umno Bahagian Ampang Ismail Kijo berkata sekiranya cadangan tersebut dilaksanakan akan ada ketua bahagian yang mengambil kesempatan untuk kepentingan politik mereka dan bukannya parti.
“Waktu kita kuat, andai kata kita calonkan nama siapa pun akan menang tetapi dalam keadaan parti tidak kuat, letaklah calon yang sudah bekerja keras sekalipun, kita tetap kalah. Apatah lagi calon tersebut pilihan ketua bahagian dan bukannya yang disukai rakyat.
“Saya rasa ada ketua bahagian yang akan ambil kesempatan mencalonkan diri sendiri sekiranya Umno Bahagian diberikan kuasa mutlak untuk menentukan calon. Perkara ini perlu lihat kesesuaian,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Dalam melontarkan cadangannya itu, Zahid menjelaskan penurunan kuasa kepada bahagian itu dirumuskan daripada permukiman Umno di Janda Baik sebelum ini.
Penurunan kuasa itu akan menjadikan pengurusan parti di peringkat negeri lebih sistematik dan tidak terlalu bergantung serta terikat dengan Umno Pusat.
“Kita bersetuju dengan penurunan kuasa ini yang melibatkan jentera, pengurusan dan hal-ehwal disiplin parti serta melakukan penyelarasan aktiviti ke akar umbi dalam usaha merakyatkan parti.
“Mereka ada kuasa untuk mempengaruhi sentimen ahli negeri masing-masing,” katanya.
Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan bagaimanapun meminta cadangan itu dikaji semula kerana jika tidak dilaksanakan dengan teliti ia akan membawa masalah yang lebih besar kepada Umno pada masa akan datang.
Pandangan itu dikongsi oleh Ketua Umno Bahagian Kuala Selangor Jahaya Ibrahim yang menang tanpa bertanding dalam pemilihan parti akhir Jun lalu.
Katanya, cadangan Zahid itu mengingatkan beliau pada pengalaman Umno Kuala Selangor semasa pilihan raya umum 9 Mei lepas.
“Calon kita tidak diterima oleh ketua-ketua cawangan. Awal-awal lagi mereka sudah rasa Umno akan kalah.
“Kita kena ambil kira pendapat ketua-ketua cawangan kerana mereka jentera parti. Jika jentera pun sudah tidak yakin dengan calon, sudah tentu mereka sendiri tiada semangat untuk berkempen.
“Mereka juga ada pengikut dan boleh mempengaruhi ahli di bawah kerana mereka juga pengundi,” katanya.

Dalam PRU14 lalu, calon Barisan Nasional bagi kawasan Parlimen Kuala Selangor Irmohizam Ibrahim gagal mempertahankan kerusi tersebut selepas tewas kepada calon Amanah Dr Dzulkefly Ahmad dengan majoriti 8,498 undi.
Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Arau Shahidan Kassim berpendapat soal penurunan kuasa ke negeri dan bahagian perlu dilakukan mengikut kesesuaian di kawasan berkenaan.
Berdasarkan pengalaman menerajui Umno di Perlis dan Arau, Shahidan berkata penentuan calon oleh pimpinan bahagian telah lama dipraktikkan di negeri itu dan hasilnya amat positif.
“Saya sokong Zahid sebab amalan ini telah lama dibuat di Perlis sejak merdeka lagi. Kami menang dari dulu dan tidak pernah hilang kuasa. PRU14 kami masih mengekalkan kemenangan dua pertiga majoriti,” katanya.
Shahidan yang juga ahli Parlimen Arau berkata Umno Perlis memberi kuasa untuk memilih calon pilihan raya berdasarkan cadangan pimpinan di peringkat cawangan dan pemilihan itu dibuat secara undian.
“Negeri lain pilih calon memandai-mandai habis kalah semua,” katanya, sambil mengakui bahawa negeri lain mungkin ada cara lain yang lebih sesuai.
“Tapi saya nasihatkan ikut cara Perlis, kita kekal menang sampai sekarang.
“Kalau negeri yang tidak pernah menang seperti Kelantan, buatlah cara apa pun. Setiausaha agung Umno pun dari Kelantan,” katanya. – 17 Oktober, 2018.
Komen