PBB beri amaran krisis kebuluran makin meruncing di Yaman 


Penduduk Yaman mengambil bekalan manakan yang diagihkan oleh sebuah agensi bantuan. Yaman kini berdepan ancaman kebuluran berikutan pergolakan yang memberi kesan kepada ekonomi dan keselamatan.– Gambar EPA, 16 Oktober, 2018

KIRA-kira 12 juta penduduk Yaman diancam kebuluran sekiranya situasi ekonomi dan keselamatan negara bergolak itu masih tidak berubah, menurut Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu pada Selasa.

“Yaman kini berdepan krisis kebuluran terburuk di dunia, dengan hampir 18 juta orang di seluruh negara itu tidak tahu di mana bekalan makanan mereka akan tiba,” kata jurucakap Program Makanan Dunia (WFP) Herve Verhoosel kepada pemberita di Geneva. 

Lebih lapan juta rakyat negara itu kini diambang kebuluran di Yaman, katanya, dan menambah situasi diburukkan lagi dengan peningkatan harga makanan, yang melonjak sebanyak satu pertiga sejak tahun lepas sahaja. 

“Sekiranya situasi ini berterusan, kita bakal menyaksikan tambahan 3.5 juta rakyat Yaman tiada bekalan makanan, atau hampir 12 juta keseluruhannya, yang amat memerlukan bantuan makanan asas bagi mengelakkan mereka berada dalam keadaan kebuluran,” katanya. 

Ini bermakna agensi PBB itu memerlukan lebih banyak dana, kata Verhoosel kepada AFP, dan menyatakan “lebih banyak orang memerlukan, lebih banyak wang diperlukan”.

WFP kini dalam proses untuk cuba meningkatkan aktivitinya di Yaman bagi menyediakan bantuan makanan kecemasan kepada kira-kira lapan juta penduduk paling kelaparan setiap bulan, kata Verhoosel. 

Namun beliau turut kesal kerana situasi keselamatan di bandar pelabuhan Hodeida, agensi PBB masih tidak mendapat akses kepada 51,000 tan bekalan gandum di kemudahan kilang gandum Red Sea di sana, yang cukup untuk memberi makan kepada 3.7 juta penduduk sebulan. 

“Kita akan lakukan apa sahaja yang mampu bagi memastikan akses kepada bekalan gandum ini,” kata Verhoosel.

Beberapa pangkalan udara, laut dan darat di Yaman masih berfungsi, jadi WFP ada mempunyai beberapa buah kapal dengan bantuan menuju ke Yaman, dan berusaha untuk menambahkan bekalan sekiranya laluan itu terputus, katanya. 

Agensi itu juga mula menggunakan pelabuhan Salalah di Oman sebagai laluan tambahan, katanya. 

WFP kini hanya mempunyai bekalan bijirin yang cukup untuk 6.4 juta penduduk bagi dua bulan di Yaman. – AFP, 16 Oktober, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen