Nahas 2 jet pejuang Myanmar ragut 3 nyawa


Dua nahas berasingan mengakibatkan dua juruterbang jet F-7 Myanmar maut. Manakala seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun mati akibat terkena serpihan salah sebuah pesawat itu. – Gambar EPA, 16 Oktober, 2018.

DUA juruterbang pesawat tempur Myanmar terbunuh dalam nahas berasingan disebabkan kabus tebal dan seorang kanak-kanak perempuan terbunuh apabila terkena serpihan dari salah satu pesawat yang jatuh atas rumahnya.

Seorang pegawai tentera memberitahu jarak penglihatan yang lemah akibat kabus menyebabkan sebuah jet F-7 merempuh menara telekomunikasi berhampiran pangkalan tentera udara Magway lebih 500 kilometer di barat laut Yangon, kata seorang pegawai tentera.

“Dia tidak sempat melentingkan diri keluar,” kata pegawai yang enggan dikenali itu.

Menurut Ahli Parlimen Kyaw Swan Yee dari bandar Min Buu, seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun yang sedang mengulangkaji di rumah terkena serpihan pesawat yang merempuh menara itu.

“Dia mati sebaik tiba di hospital,” katanya.

Dalam satu kejadian nahas lain - kira-kira 16km dari situ - seorang juruterbang berjaya melentingkan diri keluar dari pesawat tetapi terbunuh apabila jatuh ke tanah.

Kedua-dua juruterbang yang maut, Kapten Hein Thu Aung dan kapten Phyo Maung Maung, berusia dalam lingkungan 30-an.

Ketua Menteri Magway dan delegasi ahli Parlimen mengunjungi keluarga kanak-kanak malang tersebut, kata Kyaw Swan Yee.

Pada 7 April, seorang juruterbang F-7 maut selepas jetyang dipandunya terhempas akibat masalah teknikal.

Pada Jun tahun lepas, Shaanxi Y8 yang membawa anggota tentera dan keluarga mereka karam dalam Laut Andaman dan membunuh 122 orang, yang mana 15 daripada mangsa adalah kanak-kanak.

Pesawat F-7 adalah jet pejuang era Perang Dingin - buatan China versi MiG-21 Rusia. – AFP, 16 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen