Jangan takut adu masalah, kata Wan Azizah kepada remaja terlanjur


Mohd Farhan Darwis

Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata remaja terlanjur tidak wajar bertindak sendiri kerana ada saluran yang boleh digunakan untuk mendapatkan bantuan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 16 Oktober, 2018.

REMAJA yang terlanjur sehingga mengandung tidak perlu takut untuk tampil mengadu untuk membantu mereka menyelesaikan masalah, kata Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Mereka tidak wajar bertindak sendiri kerana ada saluran yang boleh digunakan untuk mendapatkan bantuan, katanya yang juga menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat.

“Kita ada kaunselor sekolah di bawah Kementerian Pendidikan. Mereka boleh minta bantuan. Memang kita ada buat kesilapan dalam hidup tetapi ramai lagi orang yang nak bantu kita,” katanya ketika ditemui selepas Muzakarah Fiqh ke-4 dan Persidangan Fiqh Antarabangsa di Institut Sosial di Kuala Lumpur, hari ini.

Wan Azizah mengulas kematian seorang remaja perempuan bersama bayi yang baru dilahirkannya dalam bilik air di sebuah rumah di Parit Buntar, Perak pada Ahad.

“Kes ini sudah jadi kes polis. Saya minta kementerian mencari apa apa maklumat sebelum saya komen. Saya sedih perkara macam ini berlaku,” katanya.

Wan Azizah juga berharap sistem pendidikan yang merangkumi semua aspek mampu mengekang gejala seks bawah umur.

Remaja berumur 18 tahun itu dipercayai meninggal dunia ketika melahirkan bayi di dalam bilik air di rumahnya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Yahya Abd Rahman, dilaporkan berkata mangsa mengadu sakit perut kepada ibunya dan meminta kebenaran menggunakan tandas di bilik tidur utama yang digunakan ibu bapanya kira-kira jam 8.30 pagi.

Bagaimanapun, selepas kira-kira 30 minit ibunya memanggil mangsa kerana mendapati remaja itu berada terlalu lama di dalam bilik air dan mangsa memberitahu dia mengalami sembelit.

Media melaporkan remaja anak kelima daripada enam beradik itu mengandung di luar nikah tanpa pengetahuan ahli keluarga yang tinggal bersama di rumah berkenaan. – 16 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen