Dua ditahan dalam kes pencemaran telur di Eropah


Skandal telur dicemari racun serangga di Eropah kini merebak ke timur Eropah dengan penemuan telur kucing tercemar di Romania. – Gambar AFP, 11 Ogos, 2017.

PENYIASAT Belanda menahan dua suspek semalam dalam siasatan yang semakin memuncak berhubung telur dicemari racun serangga, ketika skandal itu kini mula merebak ke timur Eropah dengan penemuan satu tan telur kuning tercemar di Romania.

Skandal yang menyebabkan telur ditarik balik dari pasaran seluruh Eropah itu kini turut berlaku di Luxembourg, manakala Britain berkata ia mengimport 700,000 telur dari ladang di Belanda yang dikaitkan dengan kebimbangan berhubung pencemaran fipronil, jauh lebih banyak berbanding sangkaan awal.

Fipronil biasanya digunakan untuk menghapuskan hama dan kutu pada haiwan tetapi penggunaannya dilarang oleh Kesatuan Eropah dalam industri makanan.

Ini kerana ia membahayakan buah pinggang manusia, hati dan kelenjar tiroid.

Dengan persoalan mengenai bagaimana pencemaran berlaku dan sama ada pengguna tidak dimaklumkan, tekanan semakin memuncak ke atas dua negara yang menjadi tumpuan skandal iaitu Belanda dan Belgium.

Dalam serbuan bersama Belgium, pendakwa raya Belanda berkata mereka menahan dua pengurus syarikat yang didakwa menggunakan bahan itu di ladang ternakan ayam dengan media Belanda menamakan syarikat suspek sebagai Chickfriend.

Peladang di Belanda, antara pengeksport telur terbesar Eropah dan Belgium, sebelum ini mengenal pasti Chickfriend sebagai syarikat yang diupah merawat ayam mereka untuk memusnahkan parasit. – AFP, 11 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen