Jutawan Tanzania diculik, keluarga tawar RM1.8 juta ganjaran


Jutawan Tanzania Mohammed Dewji diculik sekumpulan lelaki bersenjata di gimnasium di sebuah hotel di ibu negara Khamis lalu. – Gambar EPA, 16 Oktober, 2018.

KELUARGA jutawan Tanzania, Mohammed Dewji yang diculik pada Khamis, menawarkan ganjaran TSh1 bilion (RM1.8 juta) kepada sesiapa yang memberikan maklumat sehingga mangsa dapat diselamatkan.

Jutawan termuda di Afrika itu diculik lelaki bersenjata di luar gymnasium di kawasan kejiranan Oysterbay.

Pesuruhjaya Polis Dar es Salaam, Paul Makonda berkata kepada pemberita, Dewji yang meminati aktiviti kecergasan itu tidak mempunyai pengawal keselamatan.

Beliau berkata polis menahan lebih 20 orang yang dipercayai mempunyai kaitan dengan penculikan itu, namun motif penculikan dan tempat mangsa disembunyikan masih belum dikenal pasti.  

“Polis percaya dua lelaki berkulit putih dalang di belakang kehilangan Dewji,” katanya.

Sementara itu, jurucakap keluarga, Azim Dewji berkata ganjaran itu diharap dapat membantu polis menjalankan siasatan.

Laporan majalah Forbes mengatakan Dewji mempunyai kekayaan bernilai A$1.5 bilion dan menyifatkannya sebagai jutawan tunggal Tanzania.

Dewji juga dikenali Mo, berjaya memajukan perniagaan perusahaan borong dan runcit keluarganya sehingga muncul sebagai konglomerat pan-Afrika.

Syarikatnya, MeTL, mempunyai kepentingan dalam pembuatan tekstil, pengilangan tepung, minuman dan minyak masak, sekurang-kurangnya di enam negara Afrika.

Dewji juga pernah berkhidmat sebagai anggota Parlimen selama sedekad sehingga 2015. – Bernama, 16 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen