Jangan sensasikan isu remeh, kata Maszlee pada Utusan dan Najib


Menteri Pendidikan Maszlee Malik hari ini mengecam Utusan Malaysia dan bekas perdana menteri Najib Razak kerana dengan pantas mensensasikan perkara remeh, tentang warna stoking sekolah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Oktober, 2018.

MENTERI Pendidikan Maszlee Malik hari ini mengecam Utusan Malaysia dan bekas perdana menteri Najib Razak kerana dengan pantas mensensasikan “perkara remeh”, dan mengabaikan isu lebih penting yang dibincangkan oleh kementerian itu.

Menerusi akaun Twitternya, @maszlee berkata: “Saya cakap perkara trivial kurang dari seminit @UMonline sensasikan, DS @Najib Razak pun berminat.

“Saya bicara perkara penting hospital universiti tak ada yang nak sensasikan?”

Tweet Maszlee itu merujuk kepada laporan Utusan Malaysia semalam berkenaan, memetik menteri itu sebagai berkata beliau sedang berbincang dengan pihak berkepentingan untuk menentukan warna stoking sekolah tahun depan.

Najib yang memetik berita itu, mempersendakan Maszlee di Facebook dengan mengatakan menteri itu “berpandangan jauh” dalam menentukan warna stoking sekolah.

“Menteri pendidikan kita berpandangan jauh. Saya tak faham kenapa ada yang mengkritiknya.

“Warna stoking dan kasut sekolah penting untuk pembangunan dan pembelajaran pelajar,” kata Najib.

Naib Presiden Persatuan Peniaga Bumiputera Ameer Ali Mydin sebelum itu meminta kementerian menjejaskan sama ada pelajar sekolah rendah dan menengah akan dibenarkan memakai stoking hitam tahun depan.

Ia susulan pengumuman kementerian pada Sabtu bahawa arahan kasut sekolah hitam akan ditangguhkan hingga 2021.

Laporan Utusan Malaysia semalam turut dipetik beberapa media lain, dan mencetuskan kritikan keras daripada pengguna media sosial yang menggesa menteri itu jangan fokus kepada isu remeh di sekolah. – 16 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen