JUTAWAN terkenal Paul Allen yang juga pengasas bersama syarikat perisian gergasi Microsoft meninggal dunia semalam selepas sekian lama bertarung dengan kanser, pada usia 65 tahun.
“Abang saya individu hebat dalam semua aspek. Ketika orang ramai melihat beliau sebagai pakar teknologi dan dermawan, pada kami beliau seorang abang dan bapa saudara yang sangat disayangi dan sahabat paling setia,” kata adiknya, Jody dalam satu kenyataan.
“Semua ahli keluarga dan sahabat handai amat bertuah dapat bersama serta mengenali lelaki yang mesra, suka berjenaka, pemurah dan prihatin. Dalam saat yang penuh menyedihkan ini, kami amat terhutang budi dengan keprihatinan dan kasih sayang yang diberikan selama ini,” katanya.
Allen menghembuskan nafas terakhir hanya dalam tempoh dua minggu selepas mengumumkan kanser limfoma yang berjaya disingkir sembilan tahun lalu menyerang semula dan menjejaskan keseluruhan sel darah putihnya.
Mendiang sebelum ini menguruskan perniagaan dan hal ehwal kebajikan di Vulcan Inc serta turut aktif membabitkan diri dalam Institut Allen yang mengkhusus kepada penyelidikan saintifik, selain pemilik pasukan sukan profesional Amerika Syarikat (AS) iaitu Seattle Seahawks dan Portland Trail Blazers.
Beliau juga pemilik sebahagian pasukan Seattle Sounders yang bermain dalam Liga Bola Sepak Utama.
“Kami sangat bertuah dapat bekerja bersama mendiang dan hari ini merasa satu kehilangan besar,” kata Vulcan dalam satu kenyataan, syarikat yang ditubuhkan Allen selepas meninggalkan Microsoft pada 1983.
“Beliau memiliki kepintaran yang amat mengagumkan dan sentiasa berminat menyelesaikan antara masalah paling sukar di dunia dengan menggunakan kreativiti dalam berfikir serta pendekatan baru untuk hasil berkekalan,” kata syarikat itu lagi.
Forbes menganggarkan mendiang memiliki aset berjumlah AS$20.3 bilion (RM84.34 bilion). – AFP, 16 Oktober, 2018.
Komen