PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Donald Trump berkata beliau “membantu” pasukan tentera AS dengan mengharamkan transgender menganggotai pasukan ketenteraan.
Trump berkata isu berkaitan tentera transgender “rumit” dan “mengelirukan” bagi pasukan keselamatan negara itu.
“Saya menghormati komuniti transgender. Saya rasa saya terima sokongan daripada mereka. Saya dapat banyak undi,” katanya.
Bagaimanapun, katanya isu tentera transgender memberikan keadaan yang amat sukar bagi pasukan ketenteraan AS.
Menerusi Twitter bulan lalu, Trump mengakhiri dasar era Barack Obama yang membenarkan pasukan tentera transgender bertugas secara terbuka.
Pengumuman itu dibuat tanpa koordinasi dengan Pentagon dan dilakukan ketika Setiausaha Pertahanan Jim Mattis sedang bercuti.
Lima wanita transgender dalam pasukan tentera AS memfailkan saman terhadap Trump dan Pentagon minggu ini berhubung pengharaman itu.
Dalam saman yang difailkan di mahkamah persekutuan pada Rabu, lima plaintif daripada pasukan tentera udara, pengawal pantai dan tentera darat berkata mereka berdepan masa depan yang tidak pasti, termasuk sama ada akan dipecat atau kehilangan manfaat persaraan atau selepas tamat perkhidmatan. – AFP, 11 Ogos, 2017.
Komen