Ganjaran RM1.6 juta untuk maklumat kes penculikan bilionair Tanzania


Bilionair Tanzania Mohammed Dewji diculik sekumpulan lelaki bersenjata di gimnasium di sebuah hotel di ibu negara pada Khamis lalu. – Gambar fail EPA, 15 Oktober, 2018.

KELUARGA bilionair Tanzania Mohammed Dewji yang diculik pada minggu lalu di Dar Es Salaam, hari ini menawarkan ganjaran hampir setengah juta dolar untuk maklumat tentang mangsa.

Sekumpulan lelaki menculik Dewji, 43, ketika beliau memasuki gim di sebuah hotel di ibu negara Tanzania pada pagi Khamis lalu.

“Keluarga Dewji menawarkan AS$437,000 (RM1.6 juta) kepada mana-mana pihak yang memberi maklumat di mana beliau berada,” kata salah seorang ahli keluarga bilionair itu, Azim Dewji kepada media.

Menteri Dalam Negeri Kangi Lugola pada Sabtu berkata pihak keselamatan berusaha keras untuk mencari jutawan termuda Afrika itu dan seramai 20 orang ditahan setakat ini.

Pihaknya mendakwa penglibatan kumpulan penjenayah asing dalam kejadian itu yang dipercayai didalangi lelaki berkulit putih.

Dewji merupakan ketua eksekutif di MeTL Group yang beroperasi di kebanyakan negar Afrika dan mempunyai kepentingan dalam industri makanan, logistik, pertanian, pengangkutan dan insurans.

Menurut Forbes, beliau memiliki kekayaan AS$1.5 bilion (RM6 bilion) dan berada pada senarai ke-17 bilionair Afrika.

Dewji pernah berkhidmat sebagai ahli Parlimen pada 2005 hingga 2015 dan menjadi rakyat Tanzania pertama muncul dalam majalah Forbes. – AFP, 15 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen