BERPULUH-puluh penduduk Palestin, termasuk para pegawai, berarak ke sebuah sekolah di al-Lubban/al-Sawiyeh yang terletak di utara Tebing Barat pada Isnin, sebagai membantah arahan tentera Israel untuk menutup sekolah itu.
Beberapa orang cedera apabila tentera Israel menggunakan bom asap dan bom tangan bagi menyuraikan penunjuk perasaan Palestin, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan sumber tempatan.
Saksi berkata ketua majlis kampung al-Lubban al-Sharqiyeh, Samer Owais, telah terkena peluru getah manakala seorang wartawan foto yang membuat liputan insiden itu turut cedera.
Menteri Pendidikan, Sabri Saidam dan Gabenor Nablus, Akram Rajoub adalah antara penunjuk perasaan yang diserang dengan gas pemedih mata oleh tentera rejim, kata penduduk tempatan.
Saidam menyelar arahan penutupan sekolah itu oleh tentera rejim dan berkata beliau ke sana untuk melindungi pelajar yang dihalang oleh mengikuti kelas harian mereka.
Jurucakap kerajaan Palestin, Yousef Al-Mahmoud, menyifatkan arahan tentera itu sebagai “satu serangan baharu” ke atas pendidikan penduduk Palestin.
Beliau menggesa komuniti antarabangsa “menghentikan serangan pendudukan ini yang menjejaskan semua aspek kehidupan penduduk Palestin.”
Tentera Israel telah menutup jalan ke sekolah tersebut bagi menghalang pelajar tiba ke sana dan melepaskan gas pemedih mata ke arah penunjuk perasaan termasuk beberapa kanak-kanak.
Mereka turut menutup pintu pagar sekolah itu dan mengunci beberapa pelajar dan orang lain yang berada di dalamnya.
Pihak berkuasa Israel telah memaklumkan penduduk Palestin pada Ahad berkaitan keputusannya untuk menutup sekolah itu, yang terletak di jalan Ramallah-Nablus, sehingga diberitahu kemudian.
Mereka berkata alasan penutupan adalah kerana tindakan pelajar membaling batu ke arah tentera Israel. – Bernama, 15 Oktober, 2018.
Komen